SIBU: Pemandu tempatan dan penumpang warga Indonesia cedera apabila kenderaan pikap yang mereka berdua naiki, terbabas ke dalam parit di pusat bandar di sini, hari ini.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sibu, Andy Alie, memaklumkan bahawa sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral segera dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 12.50 tengah hari.
“Setibanya di lokasi, pasukan kami mendapati dua lelaki dewasa masih tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
“Anggota segera menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan media sebentar tadi.
Setelah berjaya dikeluarkan, pemandu berusia 30 tahun dan penumpang diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut.
Operasi yang diketuai PBK II KUP Jonnis berakhir pada jam 1.29 petang setelah kawasan kemalangan disahkan selamat.