Penggunaan elektrik secara proaktif sememangnya boleh menjimatkan bil bayaran elektrik seperti yang dibuktikan oleh rakan sepejabat saya, Adira dan keluarganya,
Sejak empat bulan lalu, mereka berjaya mengurangkan bayaran bil elektrik sehingga hanya perlu membayar sekitar RM100 sebulan!
“Berapa bil akak (panggilan mesra saya untuk Adira) setiap bulan dan bagaimana boleh berjimat begitu banyak sekali? Selalunya yang saya dengar, orang boleh berjimat mungkin antara RM10 atau RM20 sahaja.
“Tak pernah lagi saya dengar sampai ratusan. Akak guna alat jimat letrik ke? ” panjang betul soalan saya kepada rakan saya yang berasal dari Mambau, Negeri Sembilan ini.
Bil bulanan elektrik Adira sebelum ini biasanya mencecah lebih RM200 dan pernah juga hampir mencecah RM300 apabila terlalu lama dan kerap kali menggunakan penghawa dingin.
Rakan saya ini yang tinggal di rumah dua tingkat bersama suami, enam orang anak dan ibu mentua , akui wanita ini ada kalanya mereka sekeluarga terlebih atau terlalai dalam penggunaan elektrik sehingga berlakunya pembaziran.
Namun, semuanya mula berubah apabila rakan saya menyedari sesuatu perlu dilakukan bagi mengurangkan pembaziran elektrik sekali gus dapat menjimatkan pembayaran bil berkenaan.
Adira tidak menggunakan sebarang alat jimat elektrik. Beliau hanya mengamalkan kaedah selamat dengan mengubah cara hidup menjadi pengguna proaktif serta menggunakan sumber tenaga dengan lebih cekap.
Pelbagai maklumat dan rujukan di laman sesawang TNB digali di samping pelbagai panduan berguna dikongsi bersama mengenai penggunaan barangan elektrik secara efektif.
Setelah empat bulan mengamalkan panduan tersebut, bil elektrik rumah Adira mula menunjukkan penurunan sangat ketara, daripada RM280 kepada kira-kira RM100 lebih sahaja sebulan.
Memandangkan kos kehidupan kian meningkat, semestinya Adira perlu melakukan langkah penjimatan tambahan bilangan anak yang ramai, masih kecil dan yang sulung menuntut di sebuah universiti tempatan.
Mendengarkan perkongsian Adira, saya boleh rumuskan bahawa seseorang itu hanya perlu berdisiplin dan konsisten dalam penggunaan elektrik secara berhemat supaya penjimatan yang diperolehi daripada pengurangan bil tersebut boleh digunakan untuk perbelanjaan lain.
Antaranya, Adira sentiasa mengingatkan kesemua anaknya supaya memadam lampu, menutup atau mencabut soket perkakas elektrik apabila tidak digunakan lagi. Elak juga menggunakan alat penyaman udara pada suhu melampau dan guna ruangan mesin basuh semaksimum mungkin.
Menariknya, peringatan tersebut bukan sahaja dilakukan dalam bentuk ‘leteran’ tetapi juga kaedah penulisan di mana tanda berkaitan dengannya turut ditampal pada setiap plag mahupun mana-mana perkakas elektrik.
Bagi memastikan keberkesanannya, Adira juga akan membuat pemeriksaan mengejut untuk menentukan sama ada anak-anaknya itu melaksanakan apa yang diminta mereka lakukan
“Memanglah mula-mula anak ada merungut, kata akak ini kedekutlah dan sebagainya. Pada waktu awal, memang agak susah mereka hendak ikut tetapi lama-kelamaan sudah tidak ada masalah lagi.
“Sebabnya, akak akan bawa mereka pergi makan istimewa atau belikan barangan kesukaan anak sekiranya berjaya mengurangkan pembaziran,” katanya.
Mendengar semua penjelasan Adira ini membuatkan saya berfikir panjang. Apa yang rakan saya lakukan itu bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan harian kita, contoh menutup kipas apabila tidak digunakan dan tidak meninggalkan komputer dalam keadaan ‘sleep mode’.
Malah, boleh dikatakan kita sudah banyak kali didedahkan dengan perihal ini sejak masih kecil lagi. Kalau tidak di rumah, mungkin di sekolah, cuma yang mengecewakan ialah masih ramai tidak mengambil peduli mengenai kaedah penjimatan sebegini.
Walhal, siapa sangka dengan pengamalan panduan berhemat yang diamalkan Adira mampu memberi impak sangat besar buat beliau sekeluarga.
Nilai RM100 pada sesetengah orang mungkinlah tidak sebesar mana tetapi bagi rakan pejabat saya ini, jumlah tersebut sangat berharga dan banyak yang beliau boleh lakukan dengan wang seratus ringgit itu.
Selain itu, sesuatu yang turut menarik perhatian saya juga adalah apabila penjawat awam ini menekankan bahawa beliau langsung tidak menggunakan kaedah alat penjimatan elektrik yang kini begitu banyak dijual di pasaran.
Sememangnya ada pelbagai jenis, ada yang memerlukan alatnya dipasang pada soket elektrik, ada yang diletakkan di kotak suis utama. Penjual begitu bijak memancing orang ramai kononnya alat tersebut mampu menjimatkan elektrik sehingga 30 peratus.
Suruhanjaya Tenaga mahupun Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah banyak kali mengingatkan pengguna bahawa mana-mana alat jimat tenaga (ESD) yang terdapat di pasaran ketika ini sebenarnya langsung tidak berkesan mengurangkan bil elektrik pengguna sepertimana yang selalu diiklankan.
Suruhanjaya Tenaga dalam satu kenyataan sebelum ini dipetik berkata kajian terhadap ESD mendapati bacaan meter pengguna tidak menunjukkan perbezaan ketara selain tiada mana-mana badan bertauliah membuktikan alat tersebut memberi kesan penjimatan tenaga elektrik.
Biarpun demikian, masih ada lagi yang tertipu. Paling teruk, apabila ada antaranya disaman TNB hampir RM9,000 gara-gara terpedaya menggunakan satu alat kononnya boleh menjimatkan tenaga elektrik dan ini yang berlaku pada Shamsulhairi Mohd Yasin, 38.
Menurut laporan media, Shamsulhairi tidak menyangka kaedah wire bypass yang dilakukan oleh seorang kontraktor elektrik membawa padah apabila TNB datang ke rumahnya untuk membuat pemeriksaan susulan mendapati bil penggunaan elektriknya begitu rendah, tidak seperti sebelumnya.
“Saman tak boleh dikurangkan. Memang kosnya besar tapi semua itu silap kami, nak jimat elektrik tapi guna cara salah,” dia dipetik sebagai berkata.
Cerita Shamsuhairi ini mengingatkan saya pada perbualan dengan seorang pegawai TNB mengenai isu tersebut. Dalam pertemuan itu, beliau ada memberitahu saya bahawa terdapat kecenderungan di mana ada setengah kontraktor mahir elektrik menawarkan perkhidmatan jimat tenaga dengan kaedah wire bypass di mana ia adalah salah di sisi undang-undang kerana boleh dilabelkan sebagai ‘mencuri elektrik’.
Antara yang dilakukan ialah mengubah suai keadaan fizikal meter sama ada di luar penutup meter mahupun dalaman meter elektrik, menerbalikkan sambungan wayar masukan dan wayar keluaran di terminal meter elektrik yang bertujuan memperoleh bekalan elektrik dengan hasil kos pembayaran bil tidak direkodkan dengan bacaan sebenar.
Kaedah ini biarpun menampakkan ada pengurangan bil elektrik berbanding ESD yang dijual di pasaran, namun ia sebenarnya menyalahi undang-undang. Biarpun demikan, agak menyedihkan kerana ramai lagi tidak menyedarinya sehingga masih ada terpedaya.
Dalam hal ini, semuanya berbalik pada diri sendiri. Ia sebenarnya tidaklah susah, melihat kepada cara Adira menguruskan penggunaan bil elektriknya, saya percaya setiap daripada kita boleh melakukannya. Cuma, sama ada mahu atau tidak sahaja.–BERNAMA