BINTULU: Institut Ekosains Borneo (IEB) melalui Laboratori Biodiversiti Borneo mengadakan perbincangan dengan Samling Group of Companies dalam usaha menjalin kerjasama strategik, meneroka peluang kerjasama, serta memperkenalkan IEB secara keseluruhan.
Dr. Keeren Sundara Rajoo dalam satu kenyataan berkata, tujuan utama perbincangan itu adalah untuk membuka peluang kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada kedua belah pihak.
“Perbincangan ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama yang boleh dieksplorasi demi kepentingan bersama,” katanya.
Perbincangan tersebut dimulakan dengan sesi pengenalan tentang bidang fokus institut serta memperkenalkan tenaga pakar dalam IEB.
Delegasi Samling Group of Companies yang hadir termasuk Timbalan Pengurus Besar (Sumber Manusia) Jason Chieng; Penolong Pengurus (Sumber Manusia), Eleanora Chan; Pengurus Pengurusan Hutan Mampan, Wilfred Sedau; Eksekutif Biodiversiti, Cynthia Debbie John; Eksekutif Kanan Alam Sekitar, Frazier Parose; Pengurus Tapak Semaia, Jerry Bungan dan Pengurus TULEN International Sdn.Bhd. Zakaria Hamzah.
Institut Ekosains Borneo pula diwakili oleh Dr. Keeren; Philip Lepun (Penyelidik Institut) dan Zahora Ismail (Pegawai Penyelidik).
Menurut kenyataan dari Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) itu, IEB berharap hasil pertemuan tersebut akan membuka peluang kerjasama yang erat serta memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam meneroka potensi bidang biodiversiti di Sarawak.