CHIBA (JEPUN): Seramai 34 penumpang dalam dua penerbangan yang membawa sekumpulan pelajar sekolah menengah dari Guam ke Jepun mengalami gejala disyaki akibat keracunan makanan, lapor Agensi Berita Kyodo, memetik pegawai perkhidmatan kecemasan tempatan.
Menurut pejabat lapangan terbang Narita dan pihak berkuasa dari Wilayah Chiba, berhampiran Tokyo, 16 orang berada dalam Penerbangan 942 Japan Airlines dan 18 lagi dalam Penerbangan 873 United Airlines, yang kedua-duanya mendarat di lapangan terbang Narita pada Khamis malam.
Antara simptom yang dialami penumpang seperti muntah-muntah, 14 penumpang dibawa ke hospital sebaik tiba.
Beberapa penumpang dilaporkan berasa tidak sihat sebelum menaiki penerbangan, dan Japan Airlines memaklumkan kepada pegawai lapangan terbang yang makanan dalam pesawat dipercayai bukan merupakan punca kejadian.– BERNAMA-KYODO