KUCHING: Dadah bernilai kira-kira RM1.9 juta, dengan berat hampir 22 kilogram, berjaya dirampas di Lapangan Terbang Miri, Rabu lalu setelah dua lelaki yang dipercayai bertindak sebagai keldai dadah ditahan pihak berkuasa.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata kedua-dua suspek, berusia 36 dan 42 tahun, membawa dadah dalam bagasi mereka yang terdiri daripada 10.83 kilogram(kg) pil Eramin 5, 4.1 kg pil ekstasi, dan 7 kilogram syabu.
“Hasil soal siasat mendapati kedua-dua lelaki ini menerima upah sebanyak RM5,000 untuk membawa dadah tersebut dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak. Semakan lanjut menunjukkan salah seorang suspek memiliki empat rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, rekod jenayah tersebut melibatkan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta beberapa kesalahan lain di bawah Seksyen 379, Seksyen 448, dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamin, Amphetamine, dan Benzo.
“Siasatan awal mendapati dadah yang dirampas ini dipercayai untuk edaran di pasaran tempatan dan mampu menampung kegunaan sehingga 102,817 penagih,” katanya lagi.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula Khamis lalu untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dengan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Pihak polis turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan dadah melalui talian 012-2087222.
Oleh Shahrul Qaizat