SIDON: Lima anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT 850-12) yang bernaung di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) cedera akibat serangan dron Israel ke atas kenderaan berhampiran pusat pemeriksaan di sini, selatan negara itu, hari ini.
Tentera Lubnan berkata, serangan itu turut mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan tentera serta pasukan pengaman UNIFIL akibat terkena serpihan letupan.
“Musuh Israel menyasarkan sebuah kereta ketika ia melalui pusat pemeriksaan Awali, pintu masuk utama utara ke bandar Sidon,” kata tentera.
Dengan pengecualian beberapa serangan terhad, Sidon, sebuah bandar majoriti Islam Sunni, secara relatifnya terhindar daripada serangan udara maut yang menyasarkan selatan Lubnan dalam perang Israel terhadap gerakan Hizbullah yang disokong Iran.
Tentera Lubnan berkata, serangan itu membunuh tiga orang, semuanya penumpang dalam kenderaan yang disasarkan.
Tiga askar Lubnan yang mengawal pos pemeriksaan turut cedera bersama anggota kontinjen Malaysia bagi Pasukan UNIFIL, kata tentera.
Pasukan Pengaman UNIFIL berkata, “konvoi yang membawa anggota pengaman yang baru tiba ke selatan Lubnan sedang melalui Sidon apabila serangan dron berlaku berhampiran.”
“Lima anggota pengaman mengalami cedera ringan dan dirawat oleh Palang Merah Lubnan di tempat kejadian. Mereka akan meneruskan tugas ke pos masing-masing,” katanya, sambil menggesa pihak yang bertelagah “untuk mengelakkan tindakan yang membahayakan pengaman atau orang awam.”
UNIFIL mempunyai ribuan anggota pengaman.
Agensi Berita Nasional rasmi Lubnan melaporkan, sebuah kenderaan UNIFIL berada di “lorong yang sama” ketika serangan itu, mengakibatkan anggota pengaman PBB mengalami “cedera ringan”.
Seorang wartawan AFP di kawasan itu melihat sisa kenderaan disasarkan yang hangus dan remuk, hanya beberapa meter dari pos pemeriksaan tentera.
Wartawan itu melihat anggota pengaman UNIFIL berkumpul di tepi jalan berhampiran pos pemeriksaan, beberapa daripada mereka berdarah dan cedera selepas serangan itu, sementara paramedik merawat kecederaan mereka.
Wartawan itu berkata, konvoi UNIFIL itu terdiri daripada beberapa bas.
Serangan udara Israel meningkat sejak beberapa minggu lalu ke atas Haret Saida, sebuah kawasan pinggir bandar Sidon yang padat penduduknya dan mempunyai populasi umat Islam Syiah.
Israel juga semakin giat melancarkan serangan terarah ke atas kenderaan.
Sumber keselamatan memberitahu AFP, seorang wanita terbunuh pada Khamis dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah kereta di jalan utama yang menghubungkan ibu negara Beirut dengan Lembah Bekaa dan Syria.
Agensi Berita Nasional Lubnan sebelum itu melaporkan, “sebuah dron musuh menyasarkan sebuah kereta di Araya” dan serangan itu menyebabkan laluan berkenaan terhalang untuk lalu lintas kenderaan.
Lebuh raya berkenaan menghubungkan Beirut dengan ibu negara Syria, Damascus, melalui pergunungan Lebanon. – AFP