WASHINGTON: Selepas berakhirnya Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang sengit semalam, beberapa pakar menggariskan cabaran utama yang menyumbang kepada kegagalan Kamala Harris untuk menghalang Donald Trump daripada merampas kembali Rumah Putih.
Ahli strategi Demokratik, James Carville terkenal dengan ungkapan “The economy, stupid!” untuk menjelaskan kemenangan Bill Clinton pada 1992.
Selepas 30 tahun, prinsip itu masih relevan, dengan Harris gagal memenangi hati pengundi AS yang terkesan dengan lonjakan inflasi sepanjang tempoh beliau bersama Joe Biden di Rumah Putih.
Kekalahan besar Demokrat itu menyusuli kekalahan serupa yang dialami parti pemerintah seluruh dunia ketika gelombang inflasi dalam era pasca pandemik.
Walaupun data ekonomi AS menunjukkan peningkatan yang stabil dalam beberapa bulan terakhir, tinjauan masih menunjukkan sentimen negatif yang meluas dalam kalangan pengundi dan Trump tanpa henti menyerang Harris di medan kempen mengenai harga barangan runcit serta petrol yang tinggi.
“Orang ramai masih melihat inflasi sebagai masalah kerana mereka tidak berfikir dalam kadar tahunan seperti ahli ekonomi tetapi lebih kepada tahap harga,” kata Bernard Yaros dari Oxford Economics kepada AFP.
“Ia mungkin menjejaskan rakyat apabila barangan keperluan mengambil bahagian yang lebih besar dalam perbelanjaan isi rumah mereka,” katanya.
Seperti kejutan kemenangan Trump pada 2016, isu imigresen “jelas menjadi faktor” dalam kejayaan beliau pada 2024, kata Prof Carl Tobias dari Sekolah Undang-Undang Universiti Richmond.
Kali ini, Trump juga berjanji untuk melancarkan operasi penghantaran pulang secara besar-besaran bagi mengusir jutaan pendatang yang datang ke AS di bawah pentadbiran Biden-Harris.
Laluan sempadan haram berkurangan dalam tempoh beberapa bulan lalu selepas Biden mengeluarkan perintah eksekutif yang ketat, namun ia berlaku selepas rekod yang tinggi dicatatkan tahun lalu, yang dikecam Trump dan anggota Republikan lain sebagai “pencerobohan.”
Harris, yang bertanggungjawab terhadap isu imigresen Amerika Tengah, berpendapat Trump menggunakan pengaruhnya dengan Republikan yang dipilih untuk menggagalkan rang undang-undang (RUU) sempadan bipartisan demi keuntungan politik.
Republikan berpendapat RUU sempadan itu terlalu kecil dan terlambat, dan akhirnya pengundi berpihak kepada kem Trump.
Tinjauan awal menunjukkan Harris memperoleh kira-kira 40 peratus undi daripada pengundi kulit putih, lebih 80 peratus undi daripada pengundi kulit hitam dan kira-kira separuh daripada pengundi Hispanik serta Asia.
Walaupun Trump tidak memenangi majoriti dalam mana-mana kumpulan bukan kulit putih, berdasarkan tinjauan sama, sokongan terhadapnya dalam kalangan orang Afrika-Amerika meningkat dalam angka satu digit dan melonjak dua digit dalam kalangan pengundi Hispanik, satu trend yang sangat membimbangkan bagi Demokrat.
“Kita memang melihat dalam kalangan lelaki Mexico-Amerika, ahli agama, yang tidak berpendidikan tinggi, kelas pekerja… pergerakan yang mantap ke arah Trump,” kata Prof Roberto Suro dari Universiti Southern California, Annenberg.
“Trend ini juga dapat dilihat “secara geografi di sepanjang sempadan dan di tempat yang sangat terkesan oleh migrasi baharu ini,” katanya.
Bertentangan dengan semua jangkaan, Trump mendapat sokongan yang lebih baik berbanding 2020 daripada pengundi wanita walaupun hak pengguguran menjadi isu utama kempen, selain dalam kalangan golongan muda. – AFP