DARO: Jambatan Muara Lassa, kedua terpanjang di Sarawak bakal dibuka secara rasminya untuk kegunaan orang ramai pada Januari 2025, sekali gus menandakan berakhirnya perkhidmatan feri di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, projek pembinaan jambatan itu menunjukkan kemajuan yang sangat baik dengan sekitar 96 peratus siap.
“Projek pembinaan jambatan ini menunjukkan kemajuan yang sangat baik dan hampir siap mendahului jadual,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis meletakkan bongkah terakhir Jambatan Muara Lassa, Daro, hari ini.
Katanya, projek pembinaan jambatan tersebut mula dilaksanakan pada 2019, namun ia tertunda disebabkan pandemik Covid-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya itu turut memuji kaedah pembinaan ‘river pier’ (jeti sungai) yang digunakan untuk membina jambatan tersebut yang membolehkan pembinaannya berjalan lancar tanpa kelewatan.
“Kaedah tersebut turut digunakan untuk membina sebanyak 16 jambatan besar termasuk di jalan pesisir dan jalan utama kedua di Sarawak.
“Kesemua jambatan dari Limbang hingga Kuching yang dilaksanakan berjalan dengan lancar dan dijangka siap pada akhir tahun hadapan atau awal tahun 2026,
“Dengan menggunakan teknik dan kaedah tersebut, pembinaan berjalan dengan lancar dan tidak berlaku kelewatan dengan ketara,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dan ADUN Daro, Safiee Ahmad