SELANGAU: Kawasan Penternakan Babi (PFA) di Selangau akan menggunakan teknologi baharu dan moden serta menjadi yang ketiga terbesar di Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, PFA Selangau mampu menternak sehingga 12,000 ekor babi setelah mula beroperasi kelak.
Menurutnya, kerajaan menekankan keselamatan bio setelah apa yang dialami serta pelajari daripada wabak African Swine Fever (ASF), di mana semua babi sama ada yang besar atau kecil dihapuskan, kecuali di Simunjan.
“Sekarang, kita sebenarnya telah belajar daripada semua itu. Kita harus menggunakan kaedah baru dalam melakukan sesuatu.
“Ini adalah termasuk teknologi baru dengan biogas dan sebagainya, selain keselamatan bio yang ketat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah PFA di Selangau, hari ini.
Dr Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kemena turut menyeru agar PFA ini melibatkan penduduk tempatan bagi membekalkan bahan makanan kepada haiwan ternakan seperti ubi kayu dan sebagainya.
“Jika boleh, bagi golongan muda yang berminat untuk menceburi bidang ini, bantulah mereka dengan memberikan latihan. Ini akan menjadi satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk mereka di sekitar kawasan ini (Selangau).
“Saya berharap mereka juga dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan usahawan muda tempatan yang ingin mengetahui tentang kaedah dan ancaman dalam penternakan babi,” ujarnya.
Dr Rundi turut memberitahu, sebagai permulaan PFA Selangau melibatkan penternakan babi, selain beralih kepada ternakan lain seperti lembu, kambing dan juga rusa.
“Selain tanaman yang kita rancang seperti kelapa, pisang, nenas, semuanya mesti masuk ke hilir, ke pemprosesan hiliran dan sebagainya.
“Dari situ kita dapat menambah nilai kepada pendapatan petani kita.
“Saya juga difaham kawasan yang besar ini mampu menjana sekurang-kurangnya RM1.5 bilion pendapatan tambahan kepada Sarawak setahun, kemungkinan menjelang 2027,” kata beliau.
Turut hadir, ADUN Tamin, Christopher Gira Sambang.
Oleh Akun Giman