KUCHING: Sarawak merekodkan 44 kes pembuangan bayi dalam tempoh enam tahun antara 1 januari 2017 hingga 31 Disember tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pada tahun ini sahaja, sebanyak enam kes buang bayi direkodkan setakat 31 Oktober lalu.
Jumlah itu katanya, termasuk satu kes bayi yang diselamatkan melalui Pusat Pelindungan Bayi (Baby Hatch) di Pusat Perubatan Borneo (BMC) Kuching pada Mac lalu.
”Angka dan statistik ini adalah yang kita terima dari Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (Unit D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak di Bilik Persidangan, Wisma Wanita, di sini hari ini.
Menjelas lanjut, Fatimah berkata kes terbaharu adalah melibatkan seorang bayi lelaki seberat 1.43 kilogram di dalam bekas penyimpanan ikan berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Tong Sang, Sibu pada 29 Oktober lalu.
”Bayi tersebut dilaporkan telah lahir secara pramatang yang ditemui masih bertali pusat dan uri dilaporkan dalam keadaan stabil dan kini masih mendapat rawatan lanjut.
”Menerusi siasatan yang dijalankan, kita mendapati ibu kepada bayi tersebut ialah seorang remaja berusia 14 tahun yang tinggal bersama bapanya berusia 56 tahun, manakala ibunya telah meninggalkan mereka sejak dia berusia setahun dan kini menetap di Johor,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya siasatan yang dijalankan mendapati remaja tersebut telah dirogol kawan kepada bapanya sendiri yang menghantar dan mengambilnya dari sekolah setiap hari.
Fatimah pada masa sama turut memaklumkan bahawa lelaki berusia 44 tahun berkenaan kini telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Oleh RYNNA SHA’ERRA