KOTA SAMARAHAN: Seramai 530 graduan prasiswazah dirai pada hari keempat Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke-28, hari ini.
UNIMAS dalam satu kenyataan hari ini berkata, sidang keempat pada sebelah pagi menyaksikan seramai 186 graduan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta 344 graduan dari Fakulti Kejuruteraan menerima penganugerahan Ijazah Sarjana Muda.
Sidang keempat pada sebelah petang pula melibatkan penganugerahan sama kepada 282 graduan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif dan 279 graduan Fakulti sains dan teknologi sumber.
Kedua-dua sidang berkenaan disempurnakan Timbalan Premier Sarawak merangkap Pro-Canselor UNIMAS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Untuk rekod, Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-28 menyaksikan seramai 3,938 pelajar bergraduan dalam pelbagai peringkat pengajian termasuk Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda, melibatkan 3,321 graduan prasiswazah dan 617 graduan pascasiswazah.
Majlis tersebut dijangka berlangsung selama empat hari dan dijangka tamat, esok.