JAKARTA: Seekor anak gajah betina Sumatera dalam kategori terancam pupus berjaya dilahirkan semalam di Riau, sekali gus memberi harapan baharu kepada usaha pemuliharaan haiwan berkenaan di Indonesia.
Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), gajah Sumatera kini berada di ambang kepupusan dengan hanya kira-kira 2,400 hingga 2,800 ekor sahaja yang tinggal di dunia.
Ketua Agensi Pemuliharaan Tempatan, Genman Suhefti Hasibuan, berkata anak gajah itu dilahirkan di Taman Pelancongan Alam Semula Jadi Buluh Cina, Riau di bahagian barat Sumatera, Indonesia.
“Anak gajah yang belum dinamakan itu dilahirkan oleh ibunya berusia 24 tahun bernama Ngatini, manakala bapanya berusia 25 tahun bernama Robin.
“Anak gajah betina itu mempunyai berat 104 kilogram. Haiwan itu sihat, lincah, dan aktif mencari susu daripada ibunya,” katanya.
Dua lagi gajah Sumatera yang diancam pupus dilahirkan akhir tahun lalu di Taman Negara Way Kambas di pulau Sumatera, Indonesia.
Kerajaan Indonesia memuji kelahiran anak gajah berkenaan dan menyatakan bahawa usaha pemuliharaan sangat penting untuk mencegah spesies terlindung berkenaan daripada pupus.
Populasi gajah terancam oleh pemburuan haram bagi mendapatkan gading gajah yang sangat bernilai dalam perdagangan hidupan liar secara haram.
Kepulauan Sumatera berdepan dengan cabaran secara berterus membabitkan jenayah hidupan liar dan beberapa kes keracunan gajah direkodkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Penebangan hutan telah mengurangkan habitat semula jadi gajah di ancam pupus berkenaan dan menyebabkan haiwan berkenaan semakin berkonflik dengan manusia. – AFP