SARIKEI: Sejumlah 149 kes ular diterima dan dihadiri oleh pihak bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarikei sejak Januari 2024 hingga Oktober 2024.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding jumlah tahun lalu pada tempoh sama.
“Dari Januari hingga Oktober 2024, sebanyak 149 kes ular diterima dan dihadiri oleh pihak kami.
“Manakala pada 2023, untuk tempoh sama, sebanyak 113 kes ular diterima dan dihadiri oleh pihak kami.
“Ia menunjukkan kadar peningkatan sebanyak 36 kes,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Tambahnya, ular yang berjaya ditangkap biasanya dilepaskan semula ke habitat asal yang jauh dari penempatan awam.
“Oleh itu, saya sentiasa mengingatkan masyarakat awam supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran rumah bagi memastikan tiada haiwan liar yang membahayakan seperti ular masuk ke dalam rumah,” katanya.
Katanya, pada Januari 2024, sebanyak 15 kes ular dihadiri oleh pihaknya, Februari (16), Mac (15), April (22), Mei (16), Jun (12), Julai (15), Ogos (18), September (9) dan Oktober (11).
“Segera hubungi pihak kami sekiranya ternampak ular di dalam rumah atau sekitar kawasan rumah,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek