GENERASI hari ini mungkin tidak mengenal insan bernama Muhammad Rakawi Yusuf.
Ini kerana nama dan biodatanya tidak pernah diuar-uarkan dalam mana-mana media sosial mahupun media bercetak.
Tokoh bernama Muhammad Rakawi Yusuf ini merupakan salah seorang golongan berpendidikan di Sarawak yang pernah memperjuangkan nasib bangsa Melayu Sarawak.
Medium perjuangan beliau adalah menerusi mata pena dengan menulis mengenai apa yang berlaku pada masyarakat Melayu Sarawak semasa era pentadbiran Brooke.
Dari segi kajian dan tulisan tentang beliau, beberapa orang sarjana dan penulis seperti R H W Reece, Phillip Lee Thomas, Sabihah Osman, Sanib Said, Nordi Achie, Hajijah Jais dan Hamzah Hamdani serta Abang Nawawi Abang Drahman pernah menulis tentang beliau dalam karya mereka.
BIODATA
Daripada tulisan mereka dan beberapa rujukan bahan sumber pertama arkib, dapat kita kenali serba sedikit tentang Muhammad Rakawi Yusuf.
Namun demikian latar belakang beliau ini tidak banyak diketahui.
Tahun kelahiran beliau dinyatakan oleh Nordi Achie sekitar 1890an. Beliau juga dikatakan lahir di Kampung No.3, Jalan Muhibbah, Kuching.
Dari segi pendidikan pula beliau mendapat pendidikan di sekolah St. Joseph School dan Kolej Kebangsaan Melayu.
Namun demikian maklumat tentang pendidikan ini agak sedikit keliru kerana Kolej Kebangsaan Melayu hanya wujud pada 1930-an, sedangkan beliau ketika itu sudah bersara daripada jawatan pentadbirannya.
Beliau kemungkinan berlajar di Government Lay School selepas menerima pendidikan di St Joseph School.
Selain pendidikan formal diterimanya, Muhammad Rakawi Yusuf juga pandai bersilat. Atas sebab itu beliau menjadi guru silat, dan dari situ mendapat gelaran Master Rakawi.
Dari segi kerjaya, beliau pernah menjadi anggota kakitangan Jabatan Kastam Sarawak.
Namun demikian beliau bersara pada usia muda.
Atas sebab latar belakang pendidikannya, maka beliau diberi kepercayaan oleh kerajaan Brooke sebagai wakil orang Melayu dalam Lembaga Perbandaran Kuching.
HUBUNGAN
Beliau juga dikatakan mempunyai hubungan dengan perkembangan kesedaran bangsa Melayu di Singapura.
Oleh itu, beliau banyak mengetahui apa yang berlaku di Singapura dan Tanah Melayu.
Hubungan rapatnya dengan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) memberi inspirasi kepadanya untuk membela nasib bangsanya.
Beliau dikatakan aktif dalam sebuah pertubuhan yang ditubuhkan di Tanah Melayu iaitu Persatuan Sahabat Pena (PASPAM).
Hal ini boleh dilihat dengan penubuhan cawangan PASPAM di Sarawak.
Oleh kerana PASPAM berfungsi sebagai pusat meningkat pengetahuan bahasa Melayu, maka berlaku pertukaran idea antara ahlinya yang mencambahkan kesedaran dan ketajaman pemikiran Muhammad Rakawi.
AKHBAR
Selepas bersara sebagai pegawai kerajaan, beliau bersama-sama dengan rakannya iaitu Johari Anang, Daud Abdul Ghani, Abdul Rahman Kassim dan Awi Anang telah menerbitkan surat khabar berbahasa Melayu yang dinamakan Fajar Sarawak.
Akhbar ini amat penting dalam memberi kesedaran kepada kaum Bumiputera terutama dalam kalangan orang Melayu Sarawak.
Akhbar ini cuba memberi kesedaran kepada orang Melayu Sarawak perlunya berusaha di negeri sendiri sedangkan kaum lain telah maju kehadapan.
Idea dan saranan dalam akhbar ini mencerminkan sikap Muhammad Rakawi yang juga ingin agar orang Melayu Sarawak maju.
Pada ketika itu, ekonomi dunia dilanda kemelesetan dan hal ini menyebabkan Muhammad Rakawi dan rakan-rakannya sedar bahawa orang Melayu Sarawak perlu bersedia untuk masa depan mereka.
Mereka tidak harus selesa dengan apa yang mereka nikmati pada ketika itu.
Dalam keluaran Fajar Sarawak ini, Muhammad Rakawi juga pernah menulis dalam bidang rencana dengan nama pena R. b. Y. Tulisan beliau ini banyak berkisar tentang sejarah Sarawak dan juga kaum-kaum yang ada di Sarawak.
NOVEL
Muhammad Rakawi meneruskan bidang penulisannya dengan menerbit dua karya yang mempunyai impak besar kepada masyarakat Melayu Sarawak dan Sarawak ketika itu.
Karya pertama beliau adalah Melati Sarawak. Melati Sarawak merupakan novel yang dihasilkan dan diterbitkan pada 1932 dalam dua jilid.
Karya ini mempunyai 116 halaman. Novel ini diterbitkan oleh The Sarawak Printing Company.
Melati Sarawak yang dihasilkan oleh Muhammad Rakawi ini mempunyai pesanan khas kepada orang Melayu.
Dalam lidah pengarang novel ini menyatakan, ”Adapun cerita ini sengaja penulis karangkan dengan kehendak supaya menjadi cermin kepada kaum dan bangsa yang ada mempunyai segala tabiat seperti yang ada tersebut di dalamnya”.
Pesanan yang cuba diluahkan oleh Muhammad Rakawi ini adalah untuk menegur dan menasihat tentang keadaan orang Melayu Sarawak ketika itu yang ketinggalan dalam banyak bidang, dan yang lalai dengan bidang hiburan.
Naratif penceritaan novel ini adalah kisah percintan Harun dan Aminah yang dirujuk sebagai Melati.
Watak-watak ini digunakan untuk mewakili golongan progresif yang dirujuk kepada Harun, Norladin dan Nahariah, manakala kelompok konservatif yang tidak ingin berubah dirujuk kepada Aminah.
Hal ini membawa kepada pertembungan tradisi antara lama dan baharu.
Tambahan daripada itu novel ini cuba memberi penerangan tentang pentingnya pendidikan dalam kalangan wanita.
KARYA SEJARAH
Satu lagi karya yang dihasilkan oleh Muhammad Rakawi adalah Hikayat Sarawak. Karya ini merupakan satu percubaan dibuat oleh beliau untuk mengarap sejarah Sarawak.
Beliau menggunakan hasil karya Sabine Baring-Gould dan Charles Agar Bampfylde bertajuk A History of Sarawak Under its Two White Rajahs 1839-1908 dan Hugh Low bertajuk Sarawak: Its Inhabitants and Production.
Walaupun sesetengah sarjana mengatakan karya beliau ini merupakan saduran daripada dua karya ini tetapi beliau telah cuba menulis mengikut wadah tempatan.
Hal inilah cuba beliau paparkan dalam karya ini.
Tulisan-tulisan orang Barat sebelum ini banyak memaparkan tentang padangan gelap terhadap orang tempatan telah diubah dalam karya Hikayat Sarawak.
Walaupun karya ini ditulis secara naratif tetapi ada juga tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Muhammad Rakawi mengkritik penjajahan.
Dalam hal yang sama juga beliau menyusun semula penyampaian sejarah Sarawak agar ia juga menyampaikan kebaikan yang ada dalam masyarakat tempatan.
Usaha dan sumbangan yang dibuat oleh Muhammad Rakawi ini amat besar. Namun usia beliau tidak panjang dan telah meninggal dunia pada usia yang agak muda.
Diharap nama beliau boleh diabadikan sebagai tokoh terbilang negeri Sarawak yang bukan sahaja dalam bidang persuratan tetapi juga seorang perjuang berwibawa.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).