MARUDI : Langkah membenarkan pra sekolah dan tadika beroperasi mulai Julai ini mendapat respon berbeza daripada ibubapa.
Tinjauan Utusan Sarawak di sini mendapati rata-rata ibubapa masih ragu-ragu untuk menghantar anak mereka ke tadika atas pelbagai sebab.
Seorang ibu, Hafizah Bte Ahmad berkata,sebagai seorang ibu memanglah dia teruja untuk menghantar anak-anak ke tadika semula setelah lebih tiga bulan tidak bersekolah kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19.
Namun katanya, beliau masih was-was kerana kanak-kanak ini pasti sukar di kawal pergerakan mereka apabila berada di kelas.
Menurut Hafizah sebagai ibu, dia mementingkan keselamatan anak-anak dan menjaga kebersihan di mana mereka belum lagi pandai untuk membersih tangan dan sebagainya.
Tegasnya dalam masa yang sama guru-guru yang mengajar mungkin tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap pelajar dan tidak berupaya untuk menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana kanak – kanak terlalu ramai.
Hafizah yang mempunyai dua orang anak, seorang dihantar ke Tabika Kemas Kampung Narum dan seorang lagi dihantar ke Taska belum bersedia untuk menghantar mereka demi menjaga keselamatan anak-anak yang ketika ini penularan wabak Covid belum reda meskipun Marudi di kategorikan Zon hijau.
Seorang lagi ibu, Sharifah Mazenah Wan Abdul Rahman juga belum bersedia untuk menghantar anaknya ke Tabika dalam keadaan penularan wabak Covid-19 ketika ini.
Katanya beliau belum dapat menghantar anaknya ketika ini sebab risiko kepada anak-anak lebih mudah berjangkit kerana antibodi anak-anak masih lemah.
“Anak-anak sukar terima arahan tidak seperti orang dewasa yang boleh berfikir dan biarlah anak-anak belajar di sekolah buat sementara waktu sehingga wabak Covid-19 ini benar-benar dihapuskan,” katanya.
Oleh Jiku Juguong