MANCHESTER: Jaringan babak kedua Moises Caicedo mengimbangi gol penalti Bruno Fernandes ketika Chelsea bangkit mengikat Manchester United 1-1 di Old Trafford.
Ia adalah perlawanan Liga Perdana Inggeris pertama Man United di laman sendiri sejak pengendalinya, Erik ten Hag dipecat.
Chelsea kini menghuni tangga keempat liga pada 18 mata manakala United, yang dibimbing sementara Ruud van Nistelrooy, di tangga ke-13 pada 12 mata selepas 10 perlawanan.
Kapten United, Fernandes menyempurnakan sepakan penalti minit ke-70 selepas penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez mengasari Rasmus Hojlund ketika cuba menangkap bola.
Sanchez gagal meneka arah sepakan Fernandes dan Nistelrooy melompat kegembiraan meraikan gol berkenaan.
Namun keceriaan penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila Casemiro gagal mengeluarkan bola sepakan sudut Chelsea, sekali gus membolehkan Caicedo merembat melepasi Andre Onana untuk gol penyamaan pelawat.
Ten Hag dipecat pada Isnin ketika United menghuni tangga ke-14 liga.
Ruben Amorim dilantik sebagai penggantinya Jumaat lalu dan akan tiba di kelab pada 11 November ini.