PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperketatkan penguatkuasaan agar kadar pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat kepada 100 peratus di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini berikutan masih terdapat segelintir orang awam yang tidak mematuhi arahan PKP.
Beliau berkata, antara alasan diberikan mereka tidak munasabah dan kononnya tidak tahu mengenai arahan PKP yang sudah masuk hari ke-16 pelaksanaannya semalam.
“Sebagai contoh, alasan keluar rumah untuk membeli roti, air dan rokok pada jam 11 malam adalah tidak munasabah kerana orang awam sudah diberitahu bahawa semua kedai ditutup pada jam 8 malam serta tidak dibenarkan keluar rumah selepas 10 malam.
“Orang awam perlu peka dan mematuhi arahan PKP yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di Plaza Tol PJS2, di sini, tengah malam Rabu lepas.
Acryl Sani berkata, pihaknya serius dan mahu arahan PKP itu dipatuhi orang awam di seluruh negara agar wabak berkenaan dapat dibendung.
“Ketika ini, kita semua sedang melawan sesuatu yang tidak nampak (wabak Covid-19), sekiranya kita leka maka ia akan menggagalkan misi untuk memastikan kadar kes direkodkan kepada sifar,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi di daerah itu yang dianggap ‘meriah’ apabila masih ramai orang awam ingkar arahan PKP di kawasan tersebut.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, lokasi berkenaan adalah di Taman Medan, Taman Dato Harun, Ara Damansara dan Damansara Damai, di sini.
“Pihak polis akan memberi nasihat dan amaran terlebih dahulu kepada orang awam supaya tidak keluar rumah sebelum jam10 malam. “Sekiranya masih ada orang awam yang ingkar arahan PKP (selepas 10 malam), kami akan terus membuat tangkapan,” katanya. – BERNAMA