KUCHING: Buku berkaitan etnik dan budaya di Sarawak yang didokumenkan menjadi instrumen penting dalam memastikan sejarah sesebuah kaum itu terus dipelihara.
Timbalan Menteri Pengangkutan (udara dan jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata buku seperti ‘The Cultures and Traditions of Biannah’ menyediakan maklumat amat penting untuk tatapan generasi kini dan akan datang khususnya masyarakat Biannah di negeri ini agar mereka lebih memahami warisan, adat dan budaya nenek moyang mereka.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada penulis iaitu Charles Bowi Mayot kerana menghasilkan karya yang amat berharga ini terutamanya untuk masyarakat Biannah.
“Kita berasa amat bangga dengan ada penulis seperti beliau yang menunjukkan komitmen dalam usaha mengekalkan adat dan budaya etnik Biannah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bersama Komuniti Padawan sempena majlis pelancaran buku ‘The Cultures and Traditions of Biannah’ di Dewan Sri Bunga Rampai, di sini, hari ini.
Jerip turut menggesa golongan belia untuk bersikap lebih progresif dalam mengkomersialkan adat dan budaya yang ada di negeri ini.
“Jika di luar negara seperti di Jepun, mereka juga mengkomersialkan adat dan budaya mereka kepada pelancong yang datang.
“Misalnya, sekiranya kita melawat ke sana dan ingin menggunakan baju tradisional, kimono mereka yang sediakan, kita perlu membayar terlebih dahulu.
“Dengan inisiatif seperti ini, kita tidak hanya mampu meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan, malah membantu mengekalkan adat dan budaya agar tidak hilang ditelan peredaran zaman,” katanya.
Sementara itu, anak kepada mendiang Bowi, Abraham Bowi berkata penerbitan buku itu diharap dapat menjadi ‘jambatan’ yang menghubungkan sub-etnik Bidayuh yang lain di negeri ini.
Beliau berharap buku itu juga dapat memberi sumbangan kepada para pengkaji dan pelajar di universiti terutamanya mereka yang membuat kajian berkenaan etnik Biannah.
Difahamkan, buku itu memaparkan pelbagai maklumat berkenaan etnik Biannah yang merupakan sub-etnik Bidayuh termasuk adat, budaya dan juga bahasa.
Oleh RYNNA SHA’ERRA