PETRA JAYA: Semua pemegang pas Program Malaysia Rumah Keduaku, Sarawak (S-MM2H) disyaratkan minimum tahunan tempoh tinggal di Sarawak selama 30 hari setahun.
Mereka juga secara mandatori perlu membuka akaun deposit tetap dengan mana-mana bank tempatan di Sarawak dengan jumlah diperlukan ialah RM500,000 untuk setiap permohonan termasuk pasangan dan tanggungan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, syarat-syarat ini telah diperhalusi dan mendapat sokongan pada mesyuarat kabinet baru-baru ini.
Katanya, syarat permohonan bagi program S-MM2Hcserta pelesenan baharu untuk ejen yang sudah diperhalusi itu, akan berkuat kuasa di negeri ini mulai 1 Januari tahun depan.
Beliau berkata, kementeriannya telah diberi kuasa oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Putrajaya melalui surat bertarikh 2 Julai 2024, mengenai lesen perniagaan pelancongan tempatan pada S-MM2H di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
“Ini merupakan satu pencapaian penting bagi kementerian saya (MTCP), untuk mengembangkan lagi fungsi Pusat Sehenti S-MM2H, bukan sahaja setakat memproses permohonan tetapi
juga pelesenan ejen S-MM2H,” katanya padaxsidang media di Bangunan Baitul Makmur 2, di sini hari ini.
Abdul Karim juga menjelaskan bahawa tempoh lulus S-MM2H kekal lima tahun dan peserta boleh memperbaharui permohonan mereka selama lima tahun lagi. Selepas 10 tahun, mereka mesti memohon sebagai permohonan baharu.
Bagaimanapun katanya, untuk peserta sedia ada mereka masih berpegang kepada keperluan sedia ada untuk pembaharuan.
Selain itu, peserta S-MM2H tidak layak untuk bekerja sepenuh masa. Mereka hanya layak bekerja sambilan pekerjaan profesional seperti pendidikan, perbankan/sekuriti, pembuatan dan perubatan dalam sektor yang diluluskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri melalui Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU) dengan jumlah waktu bekerja tidak boleh melebihi 20 jam bekerja seminggu.
“Semua aplikasi untuk berfungsi di bawah program S-MM2H mesti dibuat kepada kuasa negeri,” katanya.
Selain itu kata beliau, peserta S-MM2H dibenarkan untuk menjadi ‘rakan kongsi’ melalui perniagaan usaha sama (JV) dengan rakan kongsi tempatan dalam sektor diluluskan oleh ILMU.
Katanya, peserta mesti memiliki minimum 49 peratus daripada jumlah modal berbayar minimum sebanyak RM250,000.
“Pembelian hartanah adalah pilihan untuk peserta berumur 30 tahun dan ke atas. Peserta yang diluluskan dibenarkan membeli sebuah rumah kediaman di Sarawak yang mempunyai nilai sekurang-kurangnya RM600,000 (Bahagian Kuching) dan RM500,000 (lain-lain Bahagian). Peserta boleh menjual rumah kediaman mereka selepas lima tahun.
Oleh NUR AIN OTSMAN