KUCHING: Suasana di Pentas Kesenian Square Tower Tebingan Sungai Kuching pada 27 Oktober 2024 (Ahad) dipenuhi dengan kemeriahan apabila persembahan Dendang Romuder berjaya membawa penonton yang hadir melewati perjalanan irama tradisional dengan penuh ‘healing.’
Ternyata Dendang Romuder yang menampilkan Fauziah Gambus (penyanyi dan gambus), Firlany Malik (accordian dan seruling), Ainal Johari (perkusi) dan Fera Ikmal (penyanyi) berjaya menawan emosi penonton menerusi persembahan yang luar biasa.
Pentas Sound Of Borneo dibuka dengan persembahan Fauziah Gambus menerusi lagu Zapin Melayu menyebabkan penonton ‘terpana’ seketika tenggelam menerusi petikan gambus beliau.
Sambutan terhadap persembahan beliau memang sudah dijangka kerana Fauziah satu-satunya artis popular berkebolehan bermain gambus sambil menyanyi.
Seterusnya disusuli dengan persembahan Fera Ikmal menerusi Laksamana Raja Di Laut dengan patah dan lenggok lagu yang tersusun menjadikan lagu irama tradisional tersebut menjadi lebih harmonis.
Pentas berubah menjadi agak panas apabila Fauziah muncul dengan lagu Joget Ampuk-Ampuk Bulan menerusi irama joget yang agak pantas dan menghiburkan.
Kemudian Fera Ikmal mengajak penonton mengimbau kembali mitos sejarah yang cukup terkenal di Sarawak dengan mendendangkan lagu Puteri Santubong.
Persembahan selama 40 minit itu turut menampilkan lagu Ayam Den Lapeh, Lemak Manis, Gundah Gulana dan Joget Gadis Sarawak (ciptaan dan produksi bersama arwah Dato Suhaimi lebih dikenali sebagai Pak Ngah dan Dr. Kamil Salem)
Sound Of Borneo dianjurkan oleh Majlis Seni Sarawak (MSS) sempena Festival Waterfront Kuching turut menampilkan kumpulan At Adau, Chinese 24 Seasons Drum dan Persatuan Gendang Pampat.
Usaha MSS dalam memartabatkan aktiviti kesenian di Sarawak harus dibanggakan. Ternyata penganjuran Sound Of Borneo memang harus diteruskan dengan menampilkan banyak lagi kumpulan yang memperjuangkan irama tradisional.
Kejayaan sesebuah acara juga terletak pada pengurusan yang baik daripada kru-kru pentas MSS yang bertungkus-lumus memberikan hasil kerja menakjubkan menjadikan pentas Sound Of Borneo berjalan dengan lancar.
Oleh Yanti Sham