BINTULU: Bekas menteri persekutuan, Tan Sri Peter Chin Fah Kui mencatat sejarah sebagai orang Cina pertama dari Sarawak yang dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk tempoh tiga tahun, bermula 18 Oktober 2024 hingga 17 Oktober 2027.
Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, beliau berasa bangga dengan pelantikan tersebut yang menggambarkannya sebagai pengiktirafan atas sumbangan besar Penasihat Kehormat SUPP itu kepada masyarakat dan negara.
“Sebagai anak Sarawak, saya berasa sangat bangga kerana beliau adalah orang Cina pertama di Sarawak yang dilantik sebagai Pro-Canselor UPM.
“Pelantikan ini bukan hanya untuk UPM Kampus Bintulu, tetapi untuk seluruh Malaysia,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu di sini, petang semalam.
Sementara itu, Peter Chin turut meluahkan rasa terharu dan gembira atas pelantikan tersebut kerana dapat berkhidmat di sebuah institusi akademik ternama seperti UPM.
Beliau menekankan pentingnya peranan kampus cawangan UPM di Bintulu, yang menjadi pusat pendidikan bagi pelajar dan graduan Sarawak khususnya dalam bidang pertanian.
“Pelantikan ini tentunya membuat saya sangat gembira dan berbesar hati.
“Sebagai anak Sarawak, saya bangga dapat berkhidmat dalam institusi akademik yang berperanan penting dalam pembangunan pertanian untuk negeri ini,” katanya.
Peter Chin menerima surat pelantikannya daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, pada 20 Ogos lalu.
Bekas Ahli Parlimen Miri ini juga pernah memegang jawatan penting di peringkat persekutuan, termasuk sebagai Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Pelantikan beliau diharap dapat memberi inspirasi kepada generasi muda serta menyumbang kepada kemajuan pendidikan tinggi dan sektor pertanian di Sarawak.