KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan didesak supaya segera meminda Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab percaya dan penuh yakin, di atas ‘Semangat Madani’ dalam Kerajaan Perpaduan ini, maka pindaan akta itu akan berjaya mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Beliau juga menyokong penuh gesaan Premier Sarawak baru-baru ini, supaya Kerajaan Persekutuan mengembalikan kuota satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah.
“Ini adalah untuk mengelak Parlimen meminda Perlembagaan Malaysia yang akan menjejaskan kepentingan Sarawak dan juga Sabah. Ketika pembentukan Malaysia pada 1963, gabungan kerusi dari Singapura, Sarawak dan Sabah adalah melebihi satu pertiga.
“Namun apabila Singapura berpisah dari Malaysia pada 1965, kerusi Parlimennya diambil oleh Semenanjung tanpa diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.
“Kepentingan serta hak Sarawak tidak akan terjamin sekiranya kerusi kami di Parlimen adalah kurang dari satu pertiga,” katanya ketika membahas Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.
Yusuf berkata Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan pada 1962 bagi menentukan sama ada rakyat Sarawak dan Sabah menyokong cadangan pembentukan Malaysia ketika itu dan dalam Laporan suruhanjaya itu, antara perkataan yang disebut adalah ‘safeguard’ (perlindungan) yang bermaksud melindungi semua budaya, agama dan bahasa.
Justeru, katanya, mengembalikan jumlah 35 peratus kerusi Parlimen untuk kedua-dua wilayah tersebut adalah sejajar dalam menghormati sejarah, perlembagaan dan perjanjian yang telah dimeterai oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.
Sarawak dan Sabah ketika ini mempunyai 56 kerusi Parlimen, iaitu 31 di Sarawak dan 25 di Sabah.
Ia hanya membabitkan 25 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, berbanding 74 kerusi yang sepatutnya ada jika mengambil kira satu pertiga seperti dijanjikan melalui Perjanjian Malaysia (MA63), 61 tahun lalu.
Justeru, pertambahan 22 lagi kerusi Parlimen diperlukan bagi Sabah dan Sarawak bagi melengkapkan kuota 35 peratus berpandukan jumlah keseluruhan kerusi Parlimen ketika ini.