PENGAMBILALIHAN syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan Sarawak kini hampir dimuktamadkan.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, baru-baru ini.
Kini kerajaan Sarawak dalam peringkat rundingan lanjutan dengan beberapa pihak berkepentingan membabitkan Malaysian Aviation Group (MAG), Khazanah Nasional Bhd dan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAB).
Kerajaan Sarawak berusaha mengambil alih MASwings untuk menjadikannya sebagai sebuah syarikat penerbangan butik bagi meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan udara ke Bumi Kenyalang.
Penerbangan butik ialah konsep perkhidmatan penerbangan yang menyediakan pengalaman lebih eksklusif, peribadi dan unik, berbeza daripada penerbangan komersial biasa.
Biasanya, penerbangan butik menawarkan jumlah penumpang terhad, kabin lebih luas dan perkhidmatan pelanggan yang diperibadikan, dengan fokus pada keselesaan dan kepuasan pelanggan.
Lazimnya, ia tidak bersifat ke arah keuntungan yang tinggi atau berdasarkan jumlah penumpang sesuai dengan kenyataan Premier Sarawak yang mahu anak Sarawak dapat berulang-alik dari Semenanjung Malaysia ke negeri ini dengan kadar tambang berpatutan.
Sebab itu, Abang Johari menyatakan Sarawak memerlukan khidmat penerbangan yang berada di kawalannya sendiri, bukan sekadar sebagai kemudahan untuk membawa penumpang keluar dan masuk.
Ia dianggap sebagai satu pelaburan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan rantaian khidmat sokongan.
Malah, pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching, yang mengambil contoh Lapangan Terbang Antarabangsa Doha di Qatar sebagai model sedang dirancang, sejajar dengan industri penerbangan yang dirancang.
Ini seterusnya mampu mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam infrastruktrur penerbangan dan pengambilalihan ini membolehkan Sarawak mampu mengawal laluan domestik yang penting, memperkukuh kedudukan strategik negeri dalam infrastruktur pengangkutan sektor Sarawak.
Maka, langkah ini dapat memupuk pembangunan ekonomi melalui peningkatan aksesibiliti ke kawasan pedalaman.
Namun, terdapat pelbagai pandangan mengenai usaha pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak.
Antaranya, jumlah peruntukan bagi pembiayaan dan pengambilalihan belum lagi diketahui secara jelas.
Begitu juga aspek model perniagaan bagi jangka panjang sekiranya harga tiket dikurangkan dan keperluan penduduk berbeza-beza di kawasan bandar dan luar bandar memerlukan perkhidmatan awam yang efektif dan boleh menguntungkan semua pihak .
KEWANGAN JANGKA PANJANG
Keperluan pembiayaan yang berterusan bagi memastikan syarikat dapat berdaya saing dalam jangka panjang tanpa bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.
Meskipun ini sebahagian daripada obligasi kerajaan Sarawak untuk memastikan penerbangan ini memberikan kesejahteraan rakyat dengan harga lebih rendah, namun penyediaan pelan pembiayaan jangka panjang perlu ada dan mengelak pergantungan subsidi yang tidak mampan dalam jangka masa panjang.
Perancangan yang teliti ini juga perlu melibatkan unjuran risiko kewangan sekiranya harga bahan api meningkat atau pasaran penerbangan menjadi tidak stabil.
PENINGKATAN INFRASTRUKTUR PENERBANGAN
Dalam usaha memperluaskan capaian MASwings, Sarawak memerlukan infrastruktur lapangan terbang dan perkhidmatan sokongan yang lebih baik, terutamanya di bahagian-bahagian utama di Sarawak.
Bermakna bukan berfokus kepada pembinaan sebuah lapangan antarabangsa di Kuching semata-mata, tetapi melibatkan menarik taraf lapangan-lapangan terbang di bahagian lain Sarawak bagi memastikan keselamatan dan kecekapan operasi MASwings.
Pelaburan dalam lapangan terbang bersaiz kecil yang mesra pengguna mungkin diperlukan untuk memastikan perkhidmatan mampu disediakan secara konsisten.
PENGURUSAN BERPENGALAMAN
Pengurusan syarikat penerbangan memerlukan kepakaran dalam bidang yang spesifik.
Bagi memastikaan kecekapan di tahap maksimum, pelantikan pengurusan yang berpengalaman dalam industri penerbangan agar pengurusan MASwings lebih berkesan dan selari dengan amalan terbaik industri.
Kekurangan kepakaran boleh menyebabkan pelbagai isu seperti masalah kos, kelewatan penerbangan, dan ketidakcekapan operasi, yang akhirnya akan membebankan kerajaan serta menjejaskan kepuasan pengguna.
Jika ini berlaku, pengguna akan kecewa dan harapan terhadap penerbangan sendiri akan tidak akan memberi kesejahteraan pengguna.
IMPAK PENGAMBILALIHAN
Salah satu justifikasi untuk pengambilalihan ini adalah bagi meningkatkan akses pengangkutan udara kepada penduduk luar bandar di Sarawak yang menghadapi kesukaran dari segi pilihan pengangkutan.
Namun, untuk mencapai impak ini, maka keutamaan kepada kawasan terpencil dan mengembangkan laluan penerbangan yang praktikal dan diperlukan, bukan hanya kawasan utama yang mungkin lebih menguntungkan tetapi kurang mendesak dari segi keperluan penduduk.
Mengambil kira keperluan komuniti luar bandar adalah penting bagi memastikan pengangkutan udara benar-benar menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan sosial penduduk setempat.
KEBIMBANGAN RISIKO KENAIKAN
Kerajaan Sarawak sebelum ini menjanjikan harga tiket yang lebih rendah melalui pengambilalihan ini.
Namun, terdapat kebimbangan bahawa sekiranya kos pengurusan dan operasi menjadi lebih tinggi, sasaran menurunkan harga tiket mungkin sukar dicapai.
Lebih-lebih lagi harga minyak dan ekonomi dunia boleh menentukan dan menyebabkan harga tiket boleh meningkat secara mendadak.
Selain itu, ia juga bergantung kepada permintaan dan penawaran semasa serta kadangkala sukar dikawal.
Maka, kerajaan negeri perlu memastikan bahawa tiket kekal mampu milik, mungkin dengan memperkenalkan subsidi bersasar yang memanfaatkan golongan berpendapatan rendah dan mengimbangkan keuntungan syarikat.
MANFAAT TEKNOLOGI
Pelaburan dalam teknologi dapat menjadi faktor kritikal dalam pengurusan kos untuk operasi yang lebih efisien.
Penggunaan teknologi digital bagi pemantauan prestasi dan penyelenggaraan serta pengurusan tempahan boleh memaksimumkan kecekapan dan mengurangkan kos operasi jangka panjang.
Aspek ini boleh dicapai apabila peluang kerjasama awam dan swasta bagi memastikan terdapat nilai tambah dapat berlangsung.
Penglibatan sektor swasta boleh membawa pengalaman dan pelaburan baharu ke dalam syarikat, terutama untuk penyediaan teknologi dan infrastruktur.
HUBUNGAN NEGERI-KERAJAAN PERSEKUTUAN
Pengambilalihan ini turut melibatkan kerjasama yang baik dengan Kerajaan Persekutuan, terutama dalam aspek perundangan dan perlesenan.
Kejelasan dalam peranan dan tanggungjawab masing-masing perlu ditekankan bagi mengelak konflik yang mungkin timbul, terutama dalam konteks hak pengurusan sumber di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kesimpulannya, pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak adalah satu langkah besar dan membawa potensi besar dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Namun, persoalan yang telah dibangkitkan, baik dari aspek kos, model perniagaan, pengurusan profesional dan kelestarian, perlu ditangani dengan teliti untuk memastikan kejayaan jangka panjang serta kepuasan rakyat yang bergantung pada perkhidmatan ini.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya.