KUCHING: Kerajaan Sarawak mengenal pasti kawasan luar persisir Miri sebagai lokasi untuk menjalankan kajian membangunkan penjanaan tenaga di laut menggunakan teknologi yang dikenali sebagai Penukaran Tenaga Terma Laut (OTEC).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kajian berhubung teknologi tersebut dianggarkan memakan masa selama 18 bulan untuk disiapkan.
“Kita perlu buat kajian dimana kekuatan Sarawak dari sudut penghasilan tenaga. Kalau kita ada kekuatan ini, apa yang kita perlu adalah sains dan prosesnya.
“Kalau sudah ada eko sistemnya kenapa tidak (buat kajian). Kalau ini memberi manfaat jadi kita boleh keluarkan tenaga hijau(dari OTEC). Saya lihat kita ada potensi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Persidangan Sarawak Sustainability Insights(SSI) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, kawasan luar persisir Miri dipilih kerana keadaan geografi Miri yang sesuai.
“Miri mempunyai tanah yang latar ke arah laut, kalau ia terlalu dalam juga tidak boleh.
“Dari segi geologi kita lihat lautan Miri, termasuklah Balingian, Mukah dasar lautnya mendatar dan kedalamannya juga sesuai.
“Apabila air di atas panas disebabkan matahari, dan air di bahagian bawah sejuk, ia akan menyebabkan putaran, dan kita akan letakkan turbin di tengah-tengah putaran ini menggunakan putaran kitaran air panas dan sejuk,” jelasnya.
OTEC adalah proses yang menggunakan perbezaan suhu antara air permukaan yang hangat serta air laut yang lebih dalam dan sejuk untuk menghasilkan tenaga.
Oleh SHAHRUL QAIZAT