SIBU: Pasukan Electrocak muncul juara acara IC Design Make-A-Thon 2024 anjuran Semikonduktor Reka Bentuk Mikroelektronik Sarawak (SMD) di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, semalam.
Pasukan ini diwakili oleh Tiong Wei Jie dan Ki Hui Yee dari UTS, serta Tiffany Jun Mckenzie dan Nur Aleesya Dayana Mohamad Salim dari SMK Kampung Nangka.
Kemenangan ini membolehkan pasukan Electrocak membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 beserta sijil penyertaan dan medal.
Naib johan bagi pertandingan ini adalah pasukan LP yang terdiri daripada Risu Manuel Frankie Deria dan Maiwarda Safidi dari UTS, serta Ho Nyet Wei dan Fong Yu Chen dari SMK Deshon, yang menerima wang tunai sebanyak RM3,000 berserta medal dan sijil penyertaan.
Tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan The Dragon Warriors, yang dianggotai oleh Vincent Tiong Yong Han dari UTS, bersama Reiko Wong Ke Shin dan Gabriella Vanessa Usu Sylvester Jigom dari SMK Rosli Dhoby.
Mereka menerima RM1,000 beserta medal dan sijil penyertaan.
Sementara itu, ‘People’s Choice Award’ diberikan kepada Pasukan Alligator of Innovation, yang dianggotai oleh Tiong Jiing Bin dan Chiu Siew Chin dari UTS, serta Elyiana Ummie Deris dan Willexsly Willismo dari SMK Durin, di mana setiap peserta menerima sijil penyertaan.
Sebanyak 40 pelajar, termasuk peserta dari UTS dan 10 sekolah menengah tempatan, telah menyertai acara ini yang diadakan untuk mempromosikan industri semikonduktor, khususnya dalam reka bentuk litar bersepadu (IC), serta meningkatkan pendidikan STEM di peringkat sekolah dan universiti.
Program ini mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Majlis Pembangunan Penyelidikan Sarawak (SRDC), Chumbaka, dan UTS.
Pertandingan ini termasuk bengkel praktikal dan sesi bimbingan yang dipimpin oleh pakar industri dan akademik, menawarkan panduan dan wawasan yang berharga kepada peserta dalam bidang tersebut.
Setelah kejayaan penganjuran di Sibu, IC Design Make-A-Thon akan diteruskan di Kuching dari 1 hingga 3 November depan.
Oleh Tarani Lanting