MASYARAKAT zaman dahulu seperti Yahudi, Jepun dan China mengaitkan penyakit kusta dengan dosa.
Namun demikian asal-usul penyakit ini tidaklah banyak diketahui.
Kajian oleh Kashini Andrew dan Mivanyi Kadala menyatakan kemungkinan Afrika Timur atau Asia Kecil sebagai kawasan asal penyakit ini.
Dari kawasan asal ini penyakit ini mula menular menerusi migrasi manusia keluar dari Afrika.
Walaupun penyakit ini adalah berjangkit tetapi jarang didengar ia menjadi wabak.
Ini kerana kawalan terhadap penyakit ini telah dilakukan dengan baik.
Di Sarawak, kerajaan Brooke menggunakan kem pesakit kusta untuk melakukan rawatan dan mengawal penyakit ini merebak.
PENTADBIRAN
Sejak penubuhannya di Batu 13 Jalan Penrissen, kem ini telah menjadi pusat utama dalam mengumpul dan menghimpunkan pesakit kusta.
Sepanjang penubuhannya, penyakit yang ditakuti masyarakat Sarawak ini berjaya dikawal dengan baik.
Dari segi struktur pentadbiran dan kakitangannya, kem ini diketuai oleh seorang pengurus yang dibantu oleh beberapa kakitangan.
Jumlah dan jawatan kakitangan ini pula berbeza-beza.
Pada 1937, misalnya, seorang Inspektor Sanitari Kanan, seorang Inspektor Sanitari Muda dan seorang pembantu perubatan (dresser) membantu mengendalikan kem tersebut.
Tambahan daripada itu terdapat tiga orang pengawal keselamatan keturunan Sikh ditempatkan di kem itu untuk menjaga kem berkenaan.
Terdapat tiga mandor mengikut tiga kaum iaitu Melayu, Dayak dan Cina dilantik untuk menjaga pesakit kaum mereka.
Pada 1937 pula, seorang penghulu dilantik dalam kalangan pesakit Dayak untuk menyelesaikan masalah kaum Dayak yang datang dari pelbagai tempat.
Penghulu ini dilantik oleh Setiausaha Hal Ehwal Bumiputera.
PERUBATAN
Antara ubat-ubat yang digunakan pada 1929 dalam merawat pesakit di kem tersebut adalah alepol.
Ubat ini dikatakan meningkatkan tenaga dan pesakit juga menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Kesan ketara ubat ini menunjukkan keadaan pesakit yang pada awalnya kurus kering dan lemah telah kembali bertenaga dan menambahkan berat badannya dalam tempoh beberapa bulan.
Bersama-sama dengan alepol, ubat lain digunakan juga adalah ‘avenyl’ yang merupakan minyak.
Ubat ini digunakan untuk merawat kulit pesakit kusta yang menghadapi keradangan dan kekeringan.
Ubat ini merupakan ubat cubaan yang dibekalkan oleh the British Empire Leprosy Relief Association.
Ubat ini merupakan satu ubat yang masih lagi diuji untuk menentukan keberkesanannya.
Pada tahun sama, Dr. Donaldson dari Lady Willingdon Leper Settlement, Chingleput, India Selatan menghantar buku panduan merawat kusta menggunakan Potassium Iodide.
JUMLAH PESAKIT
Dari segi jumlah pesakit kusta yang diterima dalam kem ini menampakkan peningkatannya dari tahun ke tahun, menurut rekod kemasukan mereka.
Pada 1929, jumlah pesakit adalah 384 orang iaitu meningkat 53 orang lebih pada tahun sebelumnya.
Jumlah pesakit yang dibenarkan keluar dari hospital adalah 54 orang. Jumlah yang kembali masuk ke kem tersebut hanyalah 21 orang.
Menurut statistik Disember 1930, jumlah pesakit kusta yang menghuni kem pesakit kusta ini kebanyakkannya datang daripada Bahagian Ketiga (kini Bahagian Sibu).
Seramai kira-kira 207 pesakit mengidap kusta dari bahagian tersebut.
Kedua terbanyak datang dari Bahagian Pertama (Kuching).
Bahagian Kedua (Sri Aman) pula memiliki pesakit kusta ketiga terbanyak.
Bahagian Keempat (Miri) merekodkan pesakit keempat terbanyak, manakala penduduk Bahagian Kelima (Limbang) yang mengidap penyakit kusta dan menginap di kem tersebut hanyalah tiga orang.
Pesakit kusta di kem ini juga berdepan dengan penyakit-penyakit lain yang kadangkala membawa maut seperti selulitis, astenia, batuk kering, peritonitis dan pulmonari.
Penyakit-penyakit lain yang sering dihidapi pesakit kusta di kem tersebut adalah asma, cirit birit, disentri, stomatitis, demam lepra dan amenorea.
Sebanyak 38.79 peratus penyakit-penyakit ini merebak menerusi penggunaan air yang tidak bersih.
Terdapat juga pesakit kusta yang melahirkan anak di kem tersebut.
Kes-kes kelahiran anak ini dipantau oleh pihak berkuasa dan bayinya dipisahkan dalam tempoh dua jam dengan ibunya.
Bayi-bayi yang lahir itu akan diserahkan kepada ahli keluarga terdekat atau ada juga kes-kes diserahkan kepada institusi kebajikan.
KEMUDAHAN
Kem pesakit kusta ini juga menyediakan tayangan gambar kepada pesakit kusta.
Bagaimanapun tayangan gambar dilakukan agak terhad.
Pada 1930 tayangan gambar hanya ditayang lapan kali setahun.
Rumah ibadah Kristian dan kuil Tua Pek Kong juga disediakan kepada penghuni yang mengerjakan ibadah mengikut agama mereka masing-masing.
Terdapat juga peluang kepada pesakit ini untuk mendapat parol bagi melawat kampung halaman mereka.
Ada juga yang menyalahgunakan parol ini untuk tidak kembali ke kem tersebut.
Bagi pesakit kusta yang dibenarkan keluar dari kem tersebut, pihak kerajaan tetap memantau mereka.
Pesakit yang pulih ini diminta untuk berkunjung ke dispensari kerajaan yang berdekatan dengan rumah mereka masing-masing.
Mereka diminta mengunjungi dispensari tersebut dalam dalam tempoh enam bulan setelah keluar kem tersebut.
Bagi pusat bandar seperti Kuching, mereka diminta mengunjungi hospital kerajaan atau kem pesakit kusta.
Pesakit yang pulih di Kuching ini pula perlu melaporkan diri setiap minggu.
Kem ini juga menyediakan beberapa peluang kepada pesakitnya untuk bekerja.
Mereka dibenarkan untuk menanam padi, sayur dan buah-buahan serta tanaman komersial lain untuk memenuhi masa lapang mereka.
Pada 1937 berkat kerja mereka ini kaum Dayak mampu menghasilkan 2,672 gantang padi.
Hasil-hasil lain yang diperoleh dari kebun kem tersebut adalah kopi, teh, tembakau dan buah pinang. Bagi yang sanggup bekerja untuk tugas-tugas seperti pertukangan, kerja-kerja anti malaria, pembersihan dan kerja-kerja yang lain akan dibayar gaji.
Tambahan daripada itu pesakit kusta dalam kalangan orang Cina dan Dayak juga diberi ruang tanah bagi menternak khinzir.
Candu juga disediakan untuk penghisap candu yang diberi secara percuma.
Perbincangan tentang kawalan penyakit kusta pada zaman Brooke ini menunjukkan terdapat usaha bersungguh-sungguh kerajaan mengawal penyakit ini.
Kem pesakit kusta ini menjadi tempat penting yang bukan setakat merawat tetapi mengawal merebaknya penyakit kusta ini.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).