KUALA LUMPUR: Peratus enrolmen murid untuk mata pelajaran bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak adalah 32.17 peratus di kawasan bandar dan 24.74 peratus (luar bandar) pada 2023.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ini dibandingkan 32.67 peratus (bandar), 25.16 peratus (luar bandar) pada 2021, manakala 32.34 peratus (bandar), 25.09 peratus (luar bandar) pada 2022.
“Mulai tahun 2020, Kementerian Pendidikan (KPM) menawarkan pilihan pakej mata pelajaran STEM di peringkat menengah atas.
“Ia meliputi Pakej STEM A, STEM B dan STEM C yang merangkumi mata pelajaran sains tulen, sains gunaan dan teknologi serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Pakej-pakej mata pelajaran disediakan bagi memberikan peluang kepada murid untuk memilih mata pelajaran bersesuaian mengikut kecenderungan, minat dan kebolehan.
“Perkara ini sejajar dengan hasrat kerajaan bagi melahirkan lebih ramai bakat berkemahiran tinggi dalam bidang STEM,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Wong berkata selepas pakej mata pelajaran itu diperkenalkan pada
2020, peratus enrolmen murid STEM di Sarawak adalah 30.50 peratus pada 2021, 33.91 peratus (2022) dan 34.66 peratus (2023).
Bagi tujuan pengkelasan mengikut lokasi bandar dan luar bandar, katanya, data adalah dianalisis berdasarkan murid yang memilih aliran Sains, mata pelajaran vokasional (MPV), Program Vokasional Menengah Atas (PVMA), Teknologi, Teknik, Kemahiran, Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahun Satu dan Program Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Tahun Satu.
KPM katanya, telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif sebagai usaha meningkatkan peratusan penyertaan murid dalam bidang STEM.
Sehubungan dengan itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 memberi penekanan untuk meningkatkan minat murid melalui pendekatan pembelajaran yang baharu dan pemantapan kurikulum.
Di samping itu, katanya, KPM turut meningkatkan kemahiran dan kebolehan guru bidang STEM, meningkatkan kesedaran terhadap STEM dalam kalangan murid, ibu bapa dan orang awam dan menambah baik serta menaik taraf kemudahan serta infrastruktur untuk proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bidang STEM.
Ahmad Johnie dalam soalan lisannya meminta KPM menyatakan sejauh manakah kemasukan pelajar ke aliran STEM di Sarawak sejak 2014 hingga kini dan perbezaan enrolmen di antara sekolah luar bandar dan bandar serta apakah perancangan kementerian untuk memastikan pelajar meminati aliran STEM dan sejauh manakah tahap kesediaan guru dari segi pengetahuan dan sikap dalam melaksanakan program STEM di Sarawak.