MIRI : Kaunter perkhidmatan agensi kerajaan persekutuan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini diserbu orang ramai semalam selepas ia dibenarkan beroperasi sejak ditutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Tinjauan Utusan Sarawak mendapati mereka sanggup beratur panjang di luar UTC sehingga ke hadapan Balai Polis Pusat Miri kerana mahu menyelesaikan urusan dengan agensi kerajaan berkenaan yang tertangguh susulan pelaksanan PKP.
Kelihatan beberapa pegawai agensi kerajaan dan kakitangan Majlis Bandaraya Miri memantau keadaan bagi memastikan keadaan terkawal.
Seorang buruh, Martin Sumbang, 38, berkata, dia datang ke UTC kerana mahu membuat permohonan MyKad anaknya yang berumur 12 tahun di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Pada jam 7.30 pagi saya bersama anak tiba di UTC, tidak sangka sudah ramai orang berbaris di situ. Dah alang-alang sampai sini, kami ikut berbaris tunggu giliran walaupun terpaksa berpanas,” katanya.
Manakala, seorang pekerja swasta, Mohd Kadir Ammar, 50, berkata dia bersama anak lelakinya datang ke UTC untuk membuat permohonan mengganti Mykad anaknya yang hilang.
“Walaupun terpaksa berbaris panjang namun saya berharap dapat menyelesaikannya hari ini juga.
“Ini kerana, anak saya perlukan Mykad untuk memohon pekerjaan,” katanya.
Selain JPN, agensi kerajaan persekutuan yang terdapat di UTC Miri ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan klinik.