PETRA JAYA: Tarian naga dan singa kini menjadi simbol perpaduan budaya di Sarawak sekali gus menyatukan masyarakat dari pelbagai bangsa dan agama.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata meskipun tarian itu berakar umbi dari China, daya tarikannya kini menjangkau lebih jauh dan dipelajari di pelbagai negara.
“Tarian naga dan singa ialah amalan budaya unik yang menggabungkan domain seni persembahan, warisan dan sukan.
”Walaupun ia berakar umbi dalam masyarakat Cina, daya tarikannya menjangkau lebih jauh, menjadi simbol perpaduan budaya di Sarawak.
”Hari ini, pengamal daripada pelbagai kumpulan etnik termasuk Iban, Bidayuh, Melayu, Melanau dan Orang Ulu, giat menyertai acara tarian naga dan singa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datu Sherrina Hussaini pada majlis perasmian Piala Tarian Naga-Singa Antarabangsa Terbuka 2024 di Stadium Perpaduan, di sini, malam tadi.
Abdul Karim berkata penglibatan silang budaya itu mencerminkan semangat saling menghormati dan menghargai yang mentakrifkan masyarakat berbilang etnik di negeri ini.
Jelasnya, penyertaan masyarakat yang pelbagai dalam persembahan tarian naga dan singa menjadikannya bukan sahaja perayaan warisan Cina tetapi ekspresi yang lebih luas tentang identiti budaya yang dikongsi bersama di Sarawak.
”Acara sebegini adalah baik untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Sarawak serta memupuk gaya hidup positif dan minat dalam sukan, seni persembahan dan warisan,” katanya.
Pertandingan itu disertai 400 peserta yang terdiri daripada 45 pasukan dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura, China, Vietnam dan merangkumi 24 juri profesional dan berdaftar.
Pada majlis itu, Sherrina turut menyempurnakan upacara ‘menitik mata singa’ yang turut disaksikan oleh Presiden Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina, Chester Lim, Setiausaha Agung Persekutuan Tarian Naga dan Singa Malaysia, Yong Kheng Chien dan Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono.
Oleh RYNNA SHA’ERRA