DARO: Sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux telah terbakar sepenuhnya dalam kejadian di Jalan Feri Muara Lassa di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.30 petang tadi.
Katanya, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro segera dikerahkan ke lokasi bagi menangani insiden tersebut.
“Anggota bertindak memadamkan kebakaran menggunakan saluran pam jentera.
“Setelah api berjaya dipadamkan, pasukan pemadaman melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada risiko bahaya lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.