PETALING JAYA: Jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin, dijangka akan pulih daripada kecederaan bahu kiri yang dialaminya ketika mempertahankan emas dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) di Sukan Paralimpik Paris 2024 yang akan diadakan hujung tahun ini.
Susulan kecederaan tersebut, Bonnie berkata beliau kini hanya menjalani latihan ringan dan sesi rawatan fisioterapi untuk memulihkan kecederaannya.
“Status kecederaan saya semakin baik, dan tahap pemulihan telah mencapai 80 peratus,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024, malam tadi.
Kejayaan Bonnie meraih emas di Paris 2024 pada Ogos lepas menyaksikannya menjadi penerima terbesar pada majlis tersebut, dengan ganjaran berjumlah RM1 juta serta insentif tambahan sebanyak RM20,000.
Ini adalah hasil pencapaian luar biasanya yang telah memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dengan angkatan baru sebanyak 232kg.
Bukan hanya memecahkan rekod dunia lamanya iaitu 231kg yang dicipta pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai, tetapi jumlah angkatannya di Perancis juga mencipta rekod baharu temasya Sukan Paralimpik, melebihi rekod lamanya yang ditetapkan pada 228kg di edisi 2020 di Tokyo, Jepun.
Selain itu, atlet berusia 25 tahun ini berkata Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2025 yang dijadualkan berlangsung di Kaherah, Mesir, dari 11 hingga 18 Okt 2025 akan menjadi fokus utamanya pada tahun depan.
Bonnie juga merancang untuk menggunakan ganjaran dari SHAKAM untuk membina rumah di kampung halamannya di Serian, Sarawak, pada masa akan depan.– BERNAMA