KUALA LUMPUR: Teruja melihat tiket konsert sulungnya habis dijual dalam tempoh tujuh jam, penyanyi bersuara lunak Ernie Zakri berjanji akan memberikan persembahan terbaik di konsert yang dijadualkan pada 25 Januari depan.
Pelantun lagu Ku Bersuara ini juga mahu konsert ‘Aura: Ernie Zakri Live in Concert’ di Dewan Plenary Kuala Lumpur Convention Centre itu menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan oleh peminat dengan sajian beberapa kejutan.
Pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri ini yang menyimpan impian untuk mengadakan konsert sejak sekian lama, berkata peluang yang diberikan oleh SAH Entertainment itu akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan hidangan halwa telinga hampir 20 lagu, termasuk Boneka, Gundah dan Masing-Masing.
“Saya tidak mahu berjanji terlalu banyak kerana saya hanya menjadi Ernie Zakrie di atas pentas, dan saya percaya orang datang kerana hendak melihat ‘seorang Ernie Zakri’.
“Jadi, apa saja yang saya nyanyikan, versi saya sendiri ke, suara tinggi dan rendah ke, saya hanya mampu jadi Ernie Zakri. Alhamdulillah, peminat sangat hargai apa saya berikan kepada mereka dan saya akan berusaha berikan yang terbaik,” katanya pada sidang media konsert berkenaan, di sini baru-baru ini.
Menurut pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-35 itu, ada permintaan agar beliau mengadakan konsert berskala besar, namun beliau tidak mahu terburu-buru berbuat demikian selain ingin lebih ‘dekat’ dengan peminat.
“Bagi saya, kriteria konsert yang berjaya ialah konsert yang sold out serta dapat memberikan banyak kenangan kepada penonton dan saya nak konsert saya ini berjaya (berikan kesemua itu), lebih-lebih lagi ini konsert sulung,” katanya yang bakal menghiburkan kira-kira 3,000 peminat pada konsert tersebut.
Berkongsi tentang persediaannya, Ernie berkata beliau berikan tumpuan kepada vokal dan juga stamina agar dapat memberikan persembahan yang bertenaga di atas pentas.
“Persiapan sedang dibuat, merangkumi vokal dan stamina. Lebih-lebih lagi stamina kerana saya pernah melahirkan, jadi ada perbezaan dari segi fizikal. Namun begitu, saya boleh katakan yang saya telah pulih sepenuhnya, dan insya-Allah, segalanya akan berlangsung dengan baik,” kata ibu kepada seorang anak perempuan berusia tiga tahun ini.
Selain persembahan pada Januari ini, Ernie juga dijadualkan mengadakan konsert solo di Singapura pada Jun tahun depan. – Bernama