MANILA: Pasukan penyelamat Filipina bertarung dengan banjir pada Jumaat untuk menyelamatkan penduduk yang masih terperangkap di atas bumbung rumah mereka selepas Ribut Tropika Trami bergerak ke laut, menyebabkan sekurang-kurangnya 40 kematian.
Puluhan ribu penduduk kekal terjejas selepas melarikan diri daripada banjir akibat hujan lebat yang membawa jumlah hujan bersamaan dua bulan dalam hanya dua hari di beberapa kawasan.
Pengarah polis bagi wilayah Bicol, Andre Dizon, berkata ramai yang masih terperangkap di atas bumbung rumah dan meminta bantuan.
“Kami berharap banjir akan surut hari ini kerana hujan telah berhenti,” katanya dari kawasan yang terjejas teruk akibat banjir, kepada AFP.
Tambah beliau, kekurangan bot getah adalah ‘cabaran terbesar’ buat masa sekarang tetapi lebih banyak bot sedang dalam perjalanan.
Ketika Trami meninggalkan Filipina pada awal pagi, bergerak ke arah barat merentasi Laut China Selatan, jumlah kematian meningkat apabila lebih banyak laporan mengenai mangsa baharu diterima.
Di wilayah Batangas, selatan ibu kota Manila, sarjan polis Nelson Cabuso memaklumkan kepada AFP bahawa enam mayat yang belum dikenal pasti ditemui di kampung Sampaloc.
“Kawasan tersebut dilanda banjir kilat semalam. Pasukan kami masih berada di kawasan itu untuk memeriksa jika terdapat mangsa lain,” katanya.
Banyak kawasan di wilayah itu masih tidak dapat diakses oleh pasukan mencari dan menyelamat, lapor media tempatan.
Lima lagi mangsa dilaporkan maut dalam banjir kilat di perkampungan pesisir pantai, Subic Ilaya, kata kopral polis Alvin de Leon.
Walaupun Manila tidak mengalami banjir besar seperti yang berlaku semasa Taufan Gaemi pada Julai, wartawan AFP pada Jumaat melihat kawasan perumahan di selatan ibu kota kebanyakannya tenggelam.
Pejabat kerajaan dan sekolah-sekolah di seluruh pulau utama, Luzon, ditutup pada Jumaat, dan amaran gelombang ribut masih berkuatkuasa di sepanjang pantai barat, dengan kemungkinan ombak setinggi dua meter.
Pakar agensi cuaca negara, Jofren Habaluyas, memberitahu AFP bahawa wilayah Batangas menerima ‘hujan bersamaan dua bulan’, atau 391.3 milimeter, sepanjang 24 dan 25 Oktober.
Jumlah rasmi lewat Khamis melaporkan 193,000 orang dipindahkan akibat banjir yang menukar jalan raya menjadi sungai dan hampir menenggelamkan beberapa bandar dalam kelodak gunung berapi seakan lumpur, yang dibawa oleh ribut.
Ramai yang berlindung di wilayah Bicol, di mana lebih daripada 30,000 penduduk melarikan diri pada Rabu sahaja akibat paras air yang ‘terlalu tinggi’.
Penyelamat di bandar Naga dan perbandaran Nabua di wilayah itu menggunakan bot untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap di atas bumbung rumah, apabila ramai daripada mereka meminta bantuan melalui hantaran Facebook.
Di bandar Lemery di Batangas, kira-kira 97 kilometer (km) di selatan Manila, sebuah hospital terpaksa menolak pesakit kerana wad dan bilik kecemasannya banjiri.
Operasi mencari seorang nelayan yang hilang selepas botnya tenggelam di perairan berhampiran wilayah Bulacan, barat Manila, masih ditangguhkan pada Jumaat akibat arus kuat, menurut pejabat bencana tempatan.
Kira-kira 20 ribut besar dan taufan melanda Filipina atau perairannya setiap tahun, menyebabkan kerosakan pada rumah serta infrastruktur selain mengorbankan puluhan nyawa.
Namun, kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa ribut di rantau Asia-Pasifik semakin terbentuk lebih dekat dengan kawasan pantai, semakin cepat menjadi kuat, dan bertahan lebih lama di daratan akibat perubahan iklim. – AFP