KUCHING: Hospital Pakar KPJ Kuching (KPJ) melakar sejarah dengan pelancaran Penyelesaian Bantuan Robot (Robotic-Assisted Solution), VELYS™ sebagai usaha meningkatkan penjagaan kesihatan bertaraf dunia ke rantau ini.
KPJ Kuching menerusi satu kenyataan berkata, sistem revolusioner itu akan meningkatkan ketepatan dan kecekapan pembedahan penggantian sendi.
“Ia merupakan teknologi penggantian sendi robot kedua yang kini digunakan oleh hospital.
“Pendekatan yang diperibadikan untuk pembedahan ini bukan sahaja meningkatkan ketepatan pembedahan tetapi juga mengoptimumkan hasil pesakit.
“Ia menawarkan faedah seperti masa pemulihan yang lebih cepat, mengurangkan ketidakselesaan selepas pembedahan dan kejayaan jangka panjang yang lebih besar,” katanya.
Sementara itu, Perunding Pakar Bedah Ortopedik yang mempelopori sistem robotik ini, Dr. Lee Woo Guan berkata, sistem VELYS™ merupakan pengubah permainan (game changer) yang akan memberikan pesakit akses kepada penjagaan terbaik untuk pembedahan penggantian lutut.
“Ia adalah sistem tanpa imej yang bermaksud pesakit tidak memerlukan x-ray atau Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan)CT khas sebelum pembedahan.
“Kepimpinan hospital komited untuk terus meningkatkan keupayaan pembedahannya dan menawarkan kemajuan teknologi terkini untuk memenuhi permintaan pesakit ortopedik yang semakin meningkat di Sarawak dan seluruh Borneo,” ujarnya.
Sejak diperkenalkan pada penghujung September tahun ini, Dr Lee telah melakukan 52 pembedahan melibatkan kes penggantian lutut menggunakan Sistem Penggantian Lutut Berbantukan Robot VELYS™.
Selain KPJ Kuching, sistem ini juga digunakan di Pusat Perubatan Sunway Kuala Lumpur.
“Dengan pengenalan sistem VELYS™, KPJ Kuching menyasarkan untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Artroskopi Lutut Keseluruhan di rantau ini.
“KPJ Kuching terus mengukuhkan komitmennya terhadap visi ini dengan mengembangkan pasukan pakar ortopedik berkemahiran tinggi,” tambahnya.