DARI dahulu hingga sekarang, masalah kekurangan guru di Sarawak bagaikan tiada nokhtah. Saban tahun kedengaran isu ini. Ia bagaikan mimpi ngeri bagi anak Bumi Kenyalang. Kita akui pelbagai inisiatif dilakukan dan diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengatasi isu kekurangan guru, tetapi pada masa sama, rakyat Sarawak terfikir apakah KPM benar-benar serius dalam isu ini?
Ini berikutan tindakan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) secara tiba-tiba ‘membuka pintu’ untuk permohonan seluruh negara inisiatif Pengambilan Guru Khas Sarawak, sedangkan asalnya dijanjikan hanya untuk anak negeri ini.
Jika ini terus dilakukan, sampai bila masalah kekurangan guru di Sarawak akan selesai? Beratus guru bersara saban tahun di negeri ini, tetapi pada masa sama puluhan, jika tidak mencecah angka ratusan, guru meminta berpindah balik ke Semenanjung. Kitaran ‘minta pindah’ ini akan berterusan dan perlu penyelesaian secara tuntas, antaranya lantik guru asal Sarawak berkhidmat di Sarawak.
Keadaan ini semakin bertambah jika mengambil kira perpindahan isu ‘guru duka lara’ iaitu masalah pasangan guru jarak jauh atau pasangan suami isteri yang berjauhan di antara satu sama lain.
Isu guru yang berjauhan berpisah dengan pasangan adalah isu yang telah lama berlarutan dan menjadi cabaran besar bagi warga pendidik dan KPM.
Isu ini kebanyakannya membabitkan pasangan berasal dari Semenanjung tetapi suami atau isteri bertugas di Sarawak dan Sabah.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata salah satu kaedah terbaik menangani atau mengurangkan isu ini ialah menempatkan guru-guru yang berasal dari daerah masing-masing mengajar di sekolah berdekatan untuk mengelak masalah kekurangan guru berlaku yang semakin kritikal.
“Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan harus mengutamakan pengambilan dan perlantikan guru-guru yang berasal dari Sarawak,” katanya.
Sarawak mempunyai sejumlah kira-kira 1,457 sekolah iaitu 1,265 sekolah rendah dan 192 sekolah menengah. Difahamkan, sehingga 30 April 2023 jumlah guru bagi sekolah di Sarawak adalah 43,285 orang.
Setakat 30 September 2024, jumlah kekosongan guru di Sarawak adalah seramai 2,229 orang iaitu terdapat 1,906 kekosongan guru sekolah rendah dan 323 kekosongan guru sekolah menengah.
Jumlah ini bukan sedikit, dan boleh menganggu prestasi akademik pelajar khususnya di sekolah-sekolah pedalaman negeri ini.
Masalah kekurangan guru di Sarawak ini beberapa kali pernah dibangkitkan oleh Ahmad Johnie di Dewan Rakyat sama ada dalam bentuk soalan lisan atau perbahasan.
“Melihat kepada data ini secara perbandingan, tidak ada penurunan yang sinifikan mengenai jumlah kekosongan guru di Sarawak sejak Januari 2024 hingga 30 September 2024.
Inilah yang menjadi persoalan dan ‘kehairanan’ rakyat Sarawak tentang ‘keseriusan’ dan ketelusan Kementerian Pendidikan dalam menangani isu ini.
SEKOLAH TANPA PENGETUA, GURU BESAR
“Apakah Kementerian Pendidikan mempunyai tindakan khusus atau sasaran bila isu kekosongan guru-guru di Sarawak dapat diatasi sepenuhnya?,” kata Ahmad Johnie ketika berucap membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
Katanya, rakyat Sarawak memahami, pelbagai inisiatif telah dilakukan dan diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan untuk mengatasi isu kekurangan guru ini, akan tetapi mereka mempersoalkan sejauh mana serius KPM untuk meminimumkan masalah kekosongan guru di Sarawak.
Lebih memeritkan keadaan, setakat 30 September 2024 ini, terdapat 109 sekolah rendah yang masih tidak mempunyai guru besar dan 75 sekolah menengah pula masih tidak ada pengetua.
KPM sudah semestinya lebih mengetahui apa akan jadi bila tiada guru besar dan pengetua, kerana ini sekali gus boleh menjejaskan pengurusan sekolah, dan berpotensi menjejaskan prestasi murid.
Bayangkan sesuatu organisasi tanpa ‘bos’, boleh memudaratkan keadaan andai kekosongan itu berterusan sekian lama. Keadaan ini satu lagi ‘mimpi ngeri’ bagi rakyat Sarawak terutama ibu bapa.
KPM bukan sahaja perlu menyelesaikan kekurangan guru biasa, malah harus secara tuntas membuat pelantikan dengan segera kekosongan jawatan guru besar dan pengetua.
Kapal perlu nakhoda untuk mengarah dan membimbing kru supaya pelayarannya stabil, nescaya bagi memastikan prestasi pelajar tidak terjejas.
Susah sangatkah nak memilih calon guru besar dan pengetua dari kalangan 43,285 guru yang ada di Sarawak sekarang?
Jika masalahnya kerana guru enggan menggalas jawatan guru besar dan pengetua disebabkan tanggungjawab besar serta tidak setimpal dengan elaun yang diberi, maka carilah penyelesaiannya dengan menaikkan elaun.
Bayangkan, elaun guru besar hanya RM200 sebulan dan elaun pengetua cuma RM300 – lebih kecil daripada elaun yang diterima oleh warden asrama, sedangkan guru besar dan pengetua adalah ‘CEO’ sekolah selaku pentadbir memantau segala-galanya dari segi pentadbiran sekolah hingga kepada prestasi murid keseluruhannya.
“Ketika hujung minggu, guru biasa boleh pergi berkelah bersama keluarga, tapi kami guru besar kadangkala terpaksa datang ke sekolah pada hujung minggu atas pelbagai urusan. Tanggungjawab lebih besar tetapi elaun siput,” kata seorang guru besar yang enggan namanya disiarkan.
Menurut Ahmad Johnie, di kawasan Parlimen Igan sahaja, terdapat lapan sekolah rendah yang masih tidak ada guru besar, selain 73 kekosongan guru sekolah rendah dan enam kekosongan guru sekolah menengah.
Apakah isu elaun pengetua dan guru besar yang sedikit dan tidak setimpal dengan tanggungjawab mereka, menyebabkan ramai guru yang layak tidak mahu memohon mengikuti program kelayakan profesional kepimpinan Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) sebagai pra-syarat menjadi pengetua dan guru besar?
Ahmad Johnie memberi contoh kira-kira 20 guru penolong kanan dan guru kanan dari kawasan Parlimen Igan layak memohon menjadi pengetua dan guru besar tetapi hanya tiga orang sahaja yang mahu memohon, walaupun Pejabat Pendidikan Daerah Daro telah membuat promosi melalui Persatuan Guru Besar, penerangan semasa kunjung bantu sekolah serta Jerayawara NPQEL.
TIMBANG SEMULA
Mengenai isu Pengambilan Guru Khas Sarawak, diharap pihak KPM dan SPP menimbang semula supaya ia hanya untuk anak Bumi Kenyalang seperti dijanjikan.
Baru-baru ini, dilaporkan bahawa lebih 1,700 calon yang disenarai pendek di bawah pemacu pengambilan guru khas untuk Sarawak, merangkumi 300 pemohon yang mempunyai kelayakan mengajar dari luar Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dalam sidang media di Sibu, baru-baru ini melahirkan rasa kecewa terhadap SPP kerana tidak menunaikan janji membenarkan 1,733 kekosongan yang ada di bawah pemacu pengambilan khas itu diisi oleh rakyat Sarawak.
Katanya, kementerian sebelum ini telah menulis surat kepada SPP meminta pengambilan itu untuk rakyat Sarawak sahaja.
Dalam sidang media berasingan, Roland Sagah dilaporkan sebagai berkata bahawa jumlah permohonan lebih 15,000 daripada anak Sarawak untuk inisiatif itu sepatutnya sudah mencukupi.
Bagaimanapun, katanya, SPP masih memilih untuk membuka peluang ini untuk anak Semenanjung.
“Sudah ada 15,000 anak Sarawak dan 2,000 lagi permohonan dari Semenanjung. Permohonan dari Sarawak sahaja sudah sangat banyak, sepatutnya mereka ambil sahaja permohonan dari anak Sarawak ini, tetapi mereka masih mahu membukanya untuk anak Semenanjung,” jelasnya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak telah menghebahkan iklan pengambilan khas guru untuk rakyat Sarawak secara besar-besaran bermula 1 Ogos lalu dan berakhir pada 23 Ogos.
Daerah Serian, Daro, Kapit, Subis, Saratok dan Betong mengalami kekurangan yang paling ketara, masing-masing dengan lebih 100 kekosongan.
Kekurangan terbesar adalah dalam subjek khusus seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral, Prasekolah, Bahasa Melayu dan Pendidikan Pemulihan, selain kekosongan dalam 22 subjek lain, termasuk jawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Inisiatif oleh KPM dan SPP pada mulanya telah memberi khabar gembira buat rakyat Sarawak kerana pengambilan guru khas ini akan mengambil guru-guru yang berasal dari Sarawak sahaja dan memberi keutamaan kepada calon guru dari kawasan yang terdapat kekosongan untuk mengatasi masalah guru yang sering berpindah tempat kerja.
Namun, ia telah menjadi polemik yang mengganggu emosi banyak pihak.
Ahmad Johnie dalam perbahasannya di Dewan Rakyat turut membangkitkan isu ini dan mahukan penjelasan terperinci KPM dan SPP apa sebenarnya yang telah terjadi?
“Saya memohon agar Kementerian dan SPP memberi penjelasan terperinci kepada kerajaan Sarawak agar polemik ini dapat di redakan.
“Adakah benar pihak SPP telah memungkiri janji dan kenapa ini terjadi?
“Saya juga ingin tahu berapakah jumlah keseluruhan calon guru yang memohon melalui inisiatif Pengambilan Guru Khas Sarawak ini?
“Berapa orangkah calon dari Sarawak termasuk dari negeri lain?
“Berapa orangkah calon yang telah disenarai pendek untuk di temuduga dan berapakah jumlah guru yang akan di mambil untuk mengisi kekosongan guru di Sarawak?
“Saya juga ingin tahu berapa orangkah, calon guru asal Sarawak yang berjaya dalam temuduga. Dan apakah kriteria-kriteria pemilihan.
“Selain saya juga ingin tahu bilakah penempatan guru baharu akan berkuatkuasa. Dan setelah inisiatif Pengambilan Guru Khas Sarawak ini selesai berapakah lagi jumlah kekosongan guru di Sarawak sama ada sekolah rendah dan sekolah menengah,” katanya.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.