KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan dua peraturan baharu dalam sistem pemantauan dan pematuhan piawai alam sekitar, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier sarawak berkata dua peraturan baharu itu adalah di bawah Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 yang melibatkan Peraturan Kelayakan dan Pendaftaran Juruaudit Luar Bertauliah, 2024 dan Peraturan Menyalakan dan Membebaskan Udara, 2024.
”Dengan ada peraturan berkaitan proses audit (Peraturan Kelayakan dan Pendaftaran Juruaudit Luar Bertauliah, 2024) ini, kita akan ada undang-undang yang menguruskan setiap laporan supaya ia sahih dan dapat diproses menjadi data.
”Kita akan memperkenalkan apa yang dipanggil akreditasi kelayakan dan pendaftaran oleh juruaudit luar selain menyokong sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Sarawak (HASN) 2024 di Dewan Majma Tunku Abd Halim Mu’adzam Shah, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut mengenai peraturan kedua iaitu pelepasan api di loji-loji minyak dan gas (Peraturan Menyalakan dan Membebaskan Udara, 2024), Abang Johari menjelaskan bahawa peraturan itu berkaitankaedah pemantauan aktiviti minyak dan gas.
“Loji minyak dan gas ini semestinya ada melepaskan api, namun ia perlulah dipantau kerana api hanya boleh dilepaskan tidak melebihi had darjah (degree) yang telah ditetapkan.
“Kalau ia melebihi had, ia akan memberi kesan kepada alam sekitar seperti menjadikan suhu terlampau panas dan juga berisiko menyebabkan letupan.
”Sehubungan itu, aktiviti ini mesti dipantau oleh kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB). Peraturan ini akan diguna pakai pada 2025 kelak,” katanya.
Pada majlis sama, Abang Johari meluluskan peruntukan berjumlah RM13.722 juta kepada NREB bagi tujuan menubuhkan Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) di semua sekolah rendah dan menengah di Sarawak bagi tempoh enam tahun sehingga 2030.
Oleh RYNNA SHA’ERRA