KUCHING: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) mengadakan mesyuarat secara webinar bagi menangani pengurusan ulat bungkus dalam industri sawit di negeri ini, baru-baru ini.
Pengerusi SOPPOA, Eric Kiu Kwong Seng berkata, turut mempamerkan inovasi terkini dalam teknologi kawalan perosak bagi memastikan para peserta dilengkapi maklumat terkini berkaitan bidang itu.
Menurutnya lagi, ulat bungkus (Lepidoptera: Psychidae) kekal sebagai perosak penting bagi industri kelapa sawit.
“Perosak ini mencipta kes pelindung dan melekat pada pelepah kelapa sawit, memakan daun dan menyebabkan defoliasi teruk jika dibiarkan.
“Walaupun tahap serangan ulat bungkus di Sarawak ketika ini dianggap rendah dan terkawal, potensi wabak memerlukan kewaspadaan dan langkah proaktif daripada pengusaha kelapa sawit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, katanya pengenalpastian awal, pemantauan berterusan dan penggunaan strategi pengurusan perosak bersepadu (IPM) termasuk kawalan biologi dan rawatan kimia terpilih adalah penting untuk memastikan populasi ulat bulu sentiasa terkawal.
Menjelas lanjut berkenaan mesyuarat itu, katanya aktiviti tahunan itu diadakan bagi membincangkan, mengemas kini dan meneroka usaha kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan untuk industri minyak sawit.
Katanya, mesyuarat itu biasanya melibatkan pegawai kanan MPOB dan ahli majlis SOPPOA, memupuk perbincangan strategik mengenai masa depan sektor tersebut.
“Pada tahun lepas, seminar berskala kecil membenarkan penyertaan lebih luas daripada ahli SOPPOA dan tahun ini kerjasama itu diperkukuh lagi melalui webinar yang memfokuskan kepada pengurusan ulat bungkus atau bagworm.
“Webinar ini menarik penonton pelbagai pengendali kelapa sawit, ahli agronomi dan profesional industri, menawarkan pandangan mendalam tentang pengenalpastian, kawalan dan pencegahan serangan ulat bungkus menggunakan teknik IPM.
“SOPPOA percaya bahawa usaha pendidikan dan jangkauan berterusan adalah penting untuk mengukuhkan kapasiti ahlinya,” ujarnya lagi.
Jelasnya, webinar itu menekankan kepentingan untuk melengkapkan pengurus ladang dengan pengetahuan yang mencukupi untuk mencegah wabak yang tidak perlu yang berpotensi membawa kepada kerugian ekonomi yang ketara akibat pengurangan hasil atau kematian pokok.
“Dengan meneruskan kerjasama dengan MPOB, SOPPOA kekal komited untuk mempromosikan amalan mampan dan menangani cabaran yang dihadapi industri kelapa sawit di Sarawak dan seterusnya,” katanya.