SIBU: Seorang pekerja swasta berumur dalam lingkungan 50-an mengalami kerugian sebanyak RM202,000 selepas menjadi mangsa kes penipuan pelaburan saham tidak wujud, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa telah menerima satu pesanan di aplikasi Whatsapp dari seorang wakil syarikat pelaburan pada 9 Ogos lalu.
“Suspek telah menawarkan pelaburan dan keuntungan yang besar dari Syarikat Boci International Investment Club membuatkan mangsa berminat untuk menyertai pelaburan tersebut.
“Kemudian mangsa telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan di aplikasi Whatsapp yang membincangkan mengenai pelaburan dan mangsa juga diminta untuk memuat turun satu aplikasi yang dijadikan platform untuk pelaburan tersebut.
“Bermula dari tempoh 26 September sehingga 11 Oktober 2024, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak 13 kali transaksi secara keseluruhan sejumlah RM202,000 ke dalam tiga akaun tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa telah menghubungi semula suspek semalam (21 Okt) untuk bertanyakan mengenai pengeluaran keuntungan yang sudah diperolehi namun suspek memberikan pelbagai alasan.
“Mangsa yang berasa curiga dan berasa ditipu hadir ke balai berdekatan untuk membuat laporan bagi siasatan lanjut pihak polis,” katanya.
Zulkipli berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan sebarang pelaburan yang ditawarkan melalui apa jua platform media sosial.
Katanya, untuk sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.
Selain itu, katanya lagi, semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui juga boleh dilakukan melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.
Oleh Tarani Lanting