SINGAPURA: Sarawak terus mengorak langkah dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui, dengan 62 peratus daripada tenaga yang digunakan pada tahun ini berasal daripada sumber tenaga hijau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyatakan bahawa pencapaian ini telah melepasi sasaran awal negeri itu yang ditetapkan pada 60 peratus, membuktikan komitmen Sarawak terhadap pembangunan tenaga lestari.
“Kami berjaya melepasi sasaran 60 peratus tenaga boleh diperbaharui pada 2024, dengan 62 peratus daripada campuran tenaga kami kini diperoleh daripada sumber ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) di Singapura, hari ini.
Selain itu, Abang Johari turut menekankan bahawa kejayaan dalam sektor tenaga hidro telah membuka jalan untuk inovasi baharu.
“Sarawak kini sedang membangunkan ladang solar terapung terbesar di Malaysia, yang terletak di Batang Ai. Projek seluas 86 hektar ini dijangka mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 52 kilotan setahun, sekaligus mengurangkan jejak karbon kami dengan ketara,” ujarnya.
Abang Johari juga berkongsi bahawa Sarawak sedang meneroka teknologi ‘Pumped Hydro Energy Storage’ (PHES) yang akan digabungkan dengan tenaga solar terapung.
Katanya, sistem ini akan memanfaatkan sinaran matahari yang banyak di Sarawak dan infrastruktur tenaga hidro sedia ada untuk meningkatkan keselamatan tenaga negeri.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalamannya melawat Stesen Tenaga Drax di United Kingdom, yang mana loji tersebut yang dahulunya menggunakan arang batu telah ditukar menjadi loji tenaga bersih melalui penggunaan biojisim.
“Lawatan ini memberi inspirasi kepada kami untuk memulakan inisiatif menggunakan rumput Napier sebagai sumber tenaga bio di Sarawak. Kelebihan rumput ini ialah ia boleh dituai tiga kali setahun dan diubah menjadi pelet tenaga yang berkualiti tinggi.
“Pelet rumput Napier dari kilang di Bintulu kini telah mula dieksport ke United Kingdom, menunjukkan potensi besar tenaga ini dalam pasaran tenaga global,” katanya.
Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abg Hipni, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.