KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit Fauziah Ahmad Daud berharap mesej teater terbitannya Di Sebalik Topeng dapat membuka mata segelintir pihak tentang kesan kritikan negatif yang dilemparkan warga maya di platform media sosial.
Menurut seniwati yang lebih dikenali sebagai Ogy Ahmad Daud ini, cerita yang dipentaskan selama dua hari di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka bermula semalam itu bukan sekadar hiburan buat penonton tetapi sebagai wadah merenung diri dan memahami erti kekuatan menghadapi ujian hidup.
“Saya harap teater ini dapat menyedarkan mereka tentang kesan komen yang ditinggalkan di media sosial. Kenyataan sedemikian boleh menyebabkan semangat atau jiwa seseorang itu hilang.
“Setiap watak yang dipersembahkan dalam teater ini melambangkan topeng-topeng yang kita pakai untuk menyembunyikan perasaan dan luka yang kita alami,” katanya dalam kenyataan.
Jelas wanita berusia 62 tahun itu, teater tersebut juga tidak bertujuan mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya sekadar ingin mengangkat isu-isu semasa yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.
Malah katanya, beliau juga tidak akan ambil peduli sekiranya ada netizen cuba mensensasikan dialog atau jalan cerita teater itu kerana menurut Ogy, karya yang dihasilkan tersebut mencerminkan realiti yang berlaku dalam masyarakat.
“Kadang-kadang bila kita buat sesuatu perkara, netizen akan kecam. Seperti dialog saya dalam teater ini, mereka suka ‘mengorek’ cerita. Apa saja cerita saya yang tidak ‘FYP’ (tular kini), sampai saya kadang-kadang terfikir, (ini) cerita (tentang) apa?
“Apa yang dipersembahkan itu ialah cerita benar dan realiti sekarang. Saya tidak rasa apa yang saya buat ini salah kerana kami tidak mengaibkan sesiapa. Saya pun tahu akta berkaitan media sosial,” katanya yang memegang watak sebagai isteri seorang tokoh politik yang pernah berkuasa sehingga menyebabkannya mengalami masalah kesihatan mental.
Di Sebalik Topeng menggunakan latar belakang sesi terapi sebagai medan menyingkap kisah setiap watak yang penuh rahsia, selain bertujuan membuka mata masyarakat tentang kepentingan sokongan emosi.
Pada masa sama, karya itu turut menekankan kepentingan mencari bantuan dan memahami kesakitan emosi merupakan sebahagian daripada kehidupan yang perlu diatasi, bukan disembunyikan. – Bernama