KUALA LUMPUR: Meskipun mempamerkan ekspresi wajah yang agak nakal dan sedikit menakutkan, patung Labubu mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan peminat koleksi anak patung di Malaysia.
Memiliki senyuman lebar, deretan gigi tajam dan telinga panjang seakan arnab, watak raksasa ciptaan artis Hong Kong Kasing Lung yang diilhamkan daripada cerita dongeng Nordic, turut menakluki media sosial.
Pempengaruh dan usahawan Soffea Dini Zulkifly, 19, adalah antara pengumpul tegar yang sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit, malah terbang ke luar negara demi memiliki koleksi patung ini.
Soffea Dini yang juga peminat watak daripada One Piece, berkata patung Labubu berbeza daripada koleksi-koleksinya sebelum ini yang disimpan di rumah, kerana anak patung itu boleh dijadikan aksesori beg dan sebahagian daripada fesyen.
“Apa yang buat saya tertarik ialah anak patung ini sebenarnya monster (raksasa) tapi berjantina perempuan. Anak patung ini juga banyak edisi, ada yang datang dengan baju, topi dengan warna berbeza yang kita boleh gayakan (pada) patung ini dan terbaharu matanya boleh ditukar dengan flip (ditolak ke tepi menggunakan jari),” katanya kepada Bernama.
Menurut anak kelahiran Sungai Petani itu, sejak dua bulan lepas , dia telah mengumpul lebih 50 patung Labubu yang biasanya dibeli di Pop Mart Bangkok, Thailand, dengan harga sekitar RM120 hingga lebih RM900 seunit.
“Dekat negara kita baru tular, tapi kalau di Thailand mereka dah biasa pakai Labubu. Boleh kata kalau berjalan di sana, setiap orang mesti ada gantung (Labubu) di beg yang digalas,” katanya yang turut menawarkan perkhidmatan jurubeli peribadi.
Sedar ada persepsi negatif tentang anak patung itu termasuk dikaitkan dengan unsur iblis, anak bongsu daripada tiga beradik tersebut berkata gambar yang dimaksudkan bukan versi asal, sebaliknya disunting oleh pihak tertentu.
“Yang dikaitkan dengan unsur menyerupai iblis itu sebenarnya versi gambar yang sudah disunting, antaranya ditambah tanduk, ditukar warna merah dan sebagainya. Kalau ikut yang asal sebenarnya tiada, dan sebagai orang Islam, saya bukannya beli untuk disembah dan sebagainya, tetapi hanya guna sebagai mainan dan hiasan beg,” katanya.
Berkongsi minat sama pempengaruh Mia Azahar, 30, yang terkenal dengan kandungan pengumpul permainan dan mekap, turut menjadikan video unboxing anak patung tersebut sebagai kandungan.
Pempengaruh yang mempunyai 2.2 juta pengikut di TikTok itu berkata dia percaya faktor trend dan pengaruh media sosial sehingga membuatkan orang ramai berebut-rebut untuk membeli anak patung tersebut, menjadikan Labubu semakin diminati dan diinginkan oleh pengumpul yang tidak mahu ketinggalan.
Menurut ibu kepada dua anak itu, perkongsian selebriti K-Pop Lisa Blackpink yang juga pengumpul Labubu di media sosial, menjadi antara faktor utama trend tersebut bertambah rancak.
“Sejujurnya (Labubu) tidaklah comel sangat, tapi in trend dan jadi hype, mana-mana pergi pun dah sold out dan orang yang dapat stok akan jual balik dan naikkan harga. Contohnya, harga asal dalam RM120 sahaja seekor tapi naik harga hingga RM200.
“Ada kepuasan bila kita dapat benda tu (Labubu), rasa macam ‘aku dah dapat ni, lepas ni tak beli dah’ ,” katanya yang turut berkongsi minat tersebut dengan beberapa rakan pempengaruh yang lain.
Memiliki lima patung termasuk edisi khas, antaranya koleksi Labubu Fall In Wild, Mia turut menyarankan agar pengumpul yang mahu mendapatkan anak patung tersebut daripada jurubeli peribadi agar membuat tinjauan dan perbandingan harga terlebih dahulu. – Bernama