PARA atlet Sarawak yang akan membawa cabaran pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor tahun hadapan dibenarkan memulakan latihan persiapan dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, persiapan latihan dimulakan sejajar dengan arahan pembukaan semula pusat sukan dan kemudahan rekreasi di negeri ini mulai esok.
“Atlet akan memulakan latihan mereka dengan mematuhi SOP termasuk menjaga penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut, mengambil suhu dan mencatatkan maklumat sebelum berlatih untuk tujuan rekod,” katanya dalam sidang media semalam.
Abdul Karim memberitahu, berikutan pandemik Covid-19 yang menular sejak tiga bulan lalu, acara sukan turut menerima tempias hingga SUKMA yang dijadualkan berlangsung pada Julai ini dianjakkan penganjurannya kepada Mac tahun depan.
“Kira-kira 230 hari lagi menjelang SUKMA tahun hadapan namun jika ditolak kepada cuti peristiwa adalah lebih kurang 200 hari sahaja lagi,” ujarnya.
Abduk Karim turut mengakui Sarawak mematuhi semua SOP sukan yang digariskan oleh kerajaan Persekutuan namun diperhalusi mengikut kehendak semasa bagi keperluan para atlet.
Beliau turut mengarahkan kolam renang dibuka hanya untuk latihan para atlet sahaja walaupun SOP Kerajaan Persekutuan tidak membenarkan perkara itu.
“Saya mahu kolam dibuka untuk latihan mereka (atlet renang) kerana anda tidak boleh melatih mereka di padang tetapi harus melatih di kolam renang juga,
“Jika kolam renang terus ditutup hingga Ogos dan September nanti maka hasrat kita bolah melupakan hasrat untuk memenangi pingat,” ujarnya keputusan serupa untuk sukan bugbi dan bola sepak.
Namun Abdul Karim menengaskan para atlet akan dipastikan mematuhi SOP yang disyaratkan dan berharap mereka mempunyai tempoh masa yang cukup untuk berlatih menjelang Mac tahun depan.
“Saya mahu Sarwak menang sebagai juara dan saya yakin kontijen Sarawak akan muncul juara setelah 29 tahun,” tegasnya.
Manakala bagi Sukan Para SUKMA, Abdul Karim menyatakan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan bekerjasama dengan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak untuk membuat persiapan para atlet.
“Pusat latihan para atlet kini dijadikan sebagai pusat saringan Covid-19 jadi saya benarkan Kompleks Sukan di Petra Jaya di sini dijadikan pusat untuk mereka berlatih bagi Sukan Para SUKMA,” katanya.
Oleh Diyana Samsuddin