KUCHING: Baru seminggu mengikat tali pertunangan, sehingga kini keberadaan mangsa bot karam semasa latihan menjelang Regata Sarawak, Muhammad Khairul Hisyam Kasturi masih menjadi tanda tanya.
Menurut bapa saudaranya, Mohd Ridzuan Aban, 64, majlis pertunangan Khairul bersama Najwa Anizan, 22, baru sahaja berlangsung 13 Oktober lalu di Kampung Asajaya Laut atau lebih dikenali sebagai Kampung Nonok.
Katanya, dua pasangan ini sudah kenal sejak dibangku sekolah.
“Bagaimanapun tarikh untuk perkahwinan dia (mangsa) belum ditentukan.
“Tunangnya ketika ini sangat sedih, saya sendiri juga tidak dapat bercakap dengan dia, sehinggakan dia dibawa ke hospital kerana terlalu terkejut dengan berita ini. Seluruh badan tunangnya masih menggeletar.
“Semalam, kami sehingga memaksa untuk tunangnya balik ke rumah (dari lokasi mencari dan menyelamat ), kerana dia tidak mahu balik.
“Kami sedang mencuba untuk menenangkan dia, kerana kami risau akan keadaanya yang begitu tertekan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pusat operasi mencari dan menyelamat lima lagi mangsa yang masih hilang dalam satu insiden bot karam di Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa, di sini, hari ini.
Menurut bapa saudaranya lagi, penglibatan mangsa ini untuk menyertai regata adalah satu keputusan yang mengejutkan memandangkan Khairul tidak begitu mahir berenang dan tidak mempunyai sebarang pengalaman menyertai apa-apa aktiviti lumba perahu seperti regata ini.
“Kalau saya tahu bahawa dia akan menyertai regata ini, saya akan melarangnya kerana dia tidak pandai berenang.
“Untuk menyertai acara seperti ini tetapi tidak pandai berenang, risikonya amatlah tinggi.
“Walaupun dia seorang anak kampung, tetapi dia jarang membuat aktiviti di air,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT