SIBU: Karnival Seni Perpaduan 2024 merupakan platform penting untuk pertukaran budaya dan seni. Ketua Bahagian Inovasi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr. Cheong Yaw Liang berkata, karnival ini bukan sahaja meraikan kepelbagaian budaya, tetapi acara yang mempamerkan kekayaan warisan Sarawak.
“Ini dengan melalui pelbagai bentuk ekspresi seperti seni halus, kaligrafi, seni kulinari, kraf tangan, dan persembahan muzik kebudayaan.
“Ia menunjukkan bagaimana budaya yang berbeza boleh wujud bersama secara harmoni dan bagaimana kuasa seni dapat mengukuhkan persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn merasmikan karnival tersebut di salah sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Katanya, pendidikan dan inovasi sentiasa menjadi kunci kepada pembangunan Sarawak, dan acara ini dengan sempurna merangkumi cita-cita ini.
“Dengan mengintegrasikan budaya tradisional dengan inovasi moden, kami menghormati budaya dan semangat untuk kreativiti dalam kalangan generasi akan datang.
“Kami percaya bahawa melalui pertukaran budaya ini, golongan muda akan mendapat inspirasi untuk belajar, meneroka dan membina asas yang kukuh untuk kejayaan masa depan mereka,” ujarnya.
Katanya lagi, dalam tempoh dua hari akan datang, para peserta akan berpeluang untuk merasai pelbagai aktiviti, termasuk Pertandingan Kaligrafi Cina dan Arab, persembahan kebudayaan, pasar artisan, dan merasa masakan.
“Saya menggalakkan semua orang untuk mengambil bahagian secara aktif dan menikmati keindahan gabungan budaya,” kata beliau.
Karnival tersebut akan berlangsung selama dua hari bermula 19 hingga 20 Oktober ini.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Kaligrafi Cina Sibu yang juga pengerusi penganjur, Hii Pee Lung, Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak, Sibu, Fairul Azli Banchit serta yang lain.
Oleh Akun Giman