KUCHING: Pendekatan 7K menekankan aspek kepimpinan, kesukanan, keusahawanan, kreativiti, kebudayaan, kesukarelawan dan kerohanian menjadi tunjang dalam Program Integrasi Belia Semenanjung-Sarawak 2024.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dolhadi Mazuki berkata, program ini bertujuan memperkukuh perpaduan belia pelbagai kaum serta mengangkat semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Katanya, program ini turut menekankan pentingnya usaha ini sebagai nafas baharu untuk mengukuhkan perpaduan nasional melalui program integrasi berlandaskan konsep 7K.
“Kami berbangga kerana Wilayah Sarawak menjadi rakan kolaborasi dalam menjayakan program ini, sejajar dengan usaha kami memperkukuh perpaduan dan memupuk semangat cintakan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Integrasi Belia Semenanjung – Sarawak 2024, di Kampung Budaya Sarawak di sini, hari ini.
Program yang dianjurkan ini adalah hasil kolaborasi antara Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).
Selain itu, beliau juga menyebut bahawa program integrasi ini adalah susulan perjumpaan antara Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 2023 yang bersependapat tentang kepentingan perpaduan belia.
Dolhadi turut menegaskan bahawa generasi muda sebagai pewaris masa depan negara perlu memahami kepentingan menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara.
Menurutnya, belia perlu dilibatkan secara aktif dalam pelbagai program yang memupuk perpaduan, seperti yang dianjurkan melalui Program Integrasi Belia Semenanjung-Sarawak ini.
“Belia bukan hanya pewaris, tetapi mereka adalah agen perubahan yang akan menentukan hala tuju negara. Oleh itu, perpaduan dalam kalangan mereka mesti diperkukuhkan.
“Perjanjian Malaysia 1963 adalah satu peringatan kepada kita semua tentang pentingnya keharmonian dan kesatuan dalam membina negara yang makmur,” ujarnya.
Program ini mendapat sokongan pelbagai agensi, termasuk Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Persatuan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), serta beberapa pertubuhan sukarelawan dari Semenanjung dan Sarawak.
Oleh Shahrul Qaizat