KUALA LUMPUR: Langkah menambah perjawatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 13 daerah di Sarawak dilakukan bagi memperkukuh keselamatan susulan pemindahan ibu negara Indonesia ke Wilayah Kalimantan Timur.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha proaktif JSJN memperkukuh kekuatan perjawatan JSJN di daerah berkenaan.
“Alhamdulillah, usaha ini juga mendapat perhatian dan sokongan kerajaan negeri dengan matlamat untuk mengekang penglibatan lebih ramai anggota masyarakat terjebak penyalahgunaan dadah.
“Ia juga sebagai langkah pengukuhan keselamatan berikutan pemindahan ibu negara Indonesia ke Wilayah Kalimantan Timur,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi bulan Oktober 2024 anjuran JSJN di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berharap pertambahan perjawatan itu dapat dipenuhi secepat mungkin.
Beliau berkata keperluan pertambahan perjawatan ini sejajar dengan ancaman jenayah narkotik yang turut mengalami evolusi ekoran perkembangan teknologi seluruh dunia.
“Realitinya perubahan corak penyalahgunaan dan penagihan dadah ketika ini semakin berbahaya. Antara tahun 1960-an hingga 1990-an, aktiviti penagihan dadah dalam kalangan rakyat Malaysia memfokuskan kepada pengambilan dadah jenis tradisional seperti candu, heroin, morfin dan ganja.
“Bagaimanapun, trend penyalahgunaan dadah berubah sejak 1990-an apabila kebanyakan penagih dadah menggunakan dadah jenis sintetik yang dihasilkan melalui pemprosesan bahan kimia sintetik seperti amphetamine, methamphetamine dan pil psikotropik,” katanya.
Razarudin berkata peralihan corak penagihan dadah itu memberikan lebih banyak kemudaratan berbanding penggunaan dadah jenis tradisional sehingga membolehkan seseorang mengalami hilang ingatan atau kurang waras.
“Sebagai focal point yang bertanggungjawab membanteras isu penagihan, penyalahgunaan dan pengedaran dadah, JSJN perlu sentiasa cakna dan proaktif selaras dengan perubahan globalisasi yang menjadikan sindiket dadah semakin licik dan kompleks,” katanya. — BERNAMA