KUCHING: Warganegara Malaysia yang terkandas di Lagos, Nigeria, diminta untuk menunggu sehingga hujung bulan ini sebelum mereka boleh dihantar balik ke tanah air.
Salah seorang daripada mereka, Malcolm Goh, seorang jurutera pemeriksaan dasar laut memberitahu Utusan Sarawak, dia menerima satu e-mel dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nigeria meminta mereka untuk menunggu bagi tempoh satu minggu lagi.
Antara sebab yang diberikan Suruhanjaya Tinggi Malaysia, menurut Goh Suruhanjaya Tinggi Nigeria di Kuala Lumpur meminta kebenaran daripada Kementerian Luar Negeri (KLN) Nigeria di Abuja untuk membenarkan kesemua penumpang di kedua-dua negara untuk mula membayar tambang penerbangan kepada Air Peace. Dijangkakan KLN Nigeria akan memberi maklumbalas, keesokan hari.
Goh berkata e-mel tersebut juga memaklumkan tarikh penerbangan yang dicadangkan oleh Nigeria adalah 28 Jun dan ini berdasarkan justifikasi untuk memastikan persiapan atau protocol keselamatan termasuk saringan dan pemeriksaan untuk menerima rakyat Nigeria kembali dapat dibuat dengan sempurna di Lapangan Terbang Abuja.
“Ia juga memaklumkan prosedur untuk membebaskan kesemua rakyat Nigeria yang masih ditahan di Malaysia (Kem Tahanan Imigresen dan Polis) dan juga bagi memberi masa kepada Suruhanjaya Tinggi Nigeria di Kuala Lumpur untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi memastikan kesemua rakyat Nigeria yang tinggal melebihi masa di Malaysia menyertai penerbangan agar ia penuh dan ini adalah permintaan dari Kerajaan Nigeria sendiri.
“E-mel tersebut juga memaklumkan ia adalah selaras dengan tarikh sebenar penerbangan domestik di Nigeria dibuka, bagi membolehkan rakyat asing di Nigeria di negeri lain untuk mendapatkan penerbangan ke Lagos.
“Ia juga untuk menyelaraskan masa mendapatkan hak mendarat di Douala, Cameroon untuk mengambil rakyat asing, termasuk beberapa rakyat Malaysia yang akan turut serta dalam penerbangan ini,” kata Goh.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia juga memaklumkan penerbangan repatriasi ‘Bilateral’ antara Malaysia dan Nigeria adalah salah satu alternatif dan usaha bagi operasi repatriasi ini setelah beberapa usaha lain sebelum ini semenjak April gagal akibat harga yang amat tinggi.
“Penerbangan dengan Air Peace ini adalah usaha mendapatkan harga yang berpatutan dan murah untuk semua, terutamanya kepada rakyat Malaysia dan bukannya satu pembohongan dan tipu helah untuk melambat-lambatkan dan melengah-lengahkan kepulangan ke tanah air,” kata Goh merujuk kepada e-mel tersebut.
Warganegara Malaysia ini terkandas di Lagos akibat penutupan lapangan terbang disebabkan oleh wabak Covid-19.
Oleh Connie Chieng