HANOI: Mahkamah Vietnam menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas taikun hartanah, Truong My Lan pada Khamis dalam perbicaraan kedua berkaitan dengan kes penipuan kewangan terbesar dalam sejarah negara itu, lapor Agensi Berita Jerman, dpa memetik media tempatan.
Lan, pengerusi syarikat hartanah Van Thinh Phat berusia 67 tahun didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram dengan nilai hampir AS$18 bilion, secara curang memperoleh harta bernilai AS$1.2 bilion, dan pemindahan wang antarabangsa secara haram sebanyak AS$4.5 bilion.
Dia sebelum ini telah dijatuhi hukuman mati pada April tahun ini dalam perbicaraan pertama atas tuduhan penyelewengan, melanggar peraturan perbankan dan rasuah.
Lan dituduh menjalankan penipuan kewangan yang menyebabkan kerugian kepada sebuah bank milik negara sebanyak 677 trilion dong Vietnam (AS$27 bilion) — lebih daripada enam peratus daripada KDNK negara pada 2022.
Dia telah membuat rayuan terhadap hukuman mati itu, namun mahkamah belum menetapkan tarikh untuk pendengaran rayuan itu.
Antara 2012 dan 2022, Lan secara tidak langsung memiliki 91.5 peratus kepentingan dalam Saigon Commercial Bank.
Dia mengarahkan eksekutif bank berkenaan untuk meluluskan pinjaman kepada ribuan “shell company” (syarikat cengkerang), sebelum merasuah pegawai dan menyelewengkan dana itu dalam bentuk tunai.
Menurut laporan media tempatan, rakan sejenayah Lan meluluskan sekitar 2,500 pinjaman. – Bernama-dpa