LONDON: Potret ‘karya’ robot pelukis Ai-Da yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan ( AI) akan menjadi hasil seni yang pertama seumpamanya dijual di sebuah rumah lelong utama, kata penganjur pameran itu.
Karya itu akan dilelong di Sotheby’s di London bulan depan, digambarkan sebagai potret ‘berhantu’ ahli matematik Inggeris, Alan Turing yang dianggap sebagai salah seorang bapa pengkomputeran moden.
Dinamakan ‘AI God’, potret setinggi 2.2 meter itu dijangka berharga antara £100,000 dan £150,000 (RM558,610 dan RM842,212).
Menurut Sotheby’s, acara jualan dalam talian yang menampilkan pelbagai bentuk seni digital, akan meneroka dunia konteks antara seni dan teknologi.
Robot yang sangat realistik itu direka untuk menyerupai wajah seorang wanita yang mempunyai sepasang mata yang besar dengan rambut palsu berwarna coklat yang mana ia menjadi salah satu robot yang paling canggih di dunia.
Ia berfungsi menggunakan algoritma AI serta mempunyai kamera di matanya dan tangan bionik.
Pemilik galeri dan pengasas studio Ai-Da Robot, Aidan Meller, mengetuai pasukan mencipta robot itu yang dianggotai pakar AI di universiti Oxford dan Birmingham di United Kingdom.
Meller berkata, Turing ahli matematik dikenali sebagai pemecah kod ketika Perang Dunia II, adalah saintis komputer awal yang pernah menyuarakan kebimbangannya mengenai penggunaan AI sejak 1950-an.
Nada “kusam dan permukaan wajah yang retak” pada karya seni itu seolah-olah mencerminkan “perjuangan yang Turing bimbangkan apabila berdepan dengan pengurusan AI”, katanya.
Karya Ai-Da adalah ‘mulus dan berhantu’ yang mana ia ‘terus mempersoalkan ke mana kuasa AI akan membawa manusia dan persaingan global untuk memanfaatkan kuasanya,” katanya.
Pada 2022, Ai-Da melukis potret persembahan utama di Festival Glastonbury termasuk Billie Eilish, Diana Ross, Kendrick Lamar, dan Paul McCartney.
Jualan Seni Digital Sotheby’s akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 7 November. – AFP