KUCHING: Sarawak melancarkan dua inisiatif yang akan memacu agenda digital negeri ke hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu – Program Residensi Digital Sarawak (SDRP) serta Sarawak Technology and Innovation Sandbox (STIS) adalah langkah berani untuk menarik golongan profesional, pekerja, usahawan asing dan pelabur ke Sarawak.
Katanya, program dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu mengukuhkan lagi status Malaysia sebagai destinasi utama bagi nomad digital di Asia Tenggara.
“SDRP adalah inisiatif berani yang bertujuan menarik golongan profesional, pekerja terpencil, usahawan asing dan pelabur ke Sarawak.
“Dengan syarat yang fleksibel, kami meletakkan Sarawak sebagai hab digital inklusif yang mengalu-alukan bakat global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, STIS pula dibangunkan bagi memudahkan peralihan negeri kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.
“STIS dijangka memacu inovasi dalam agritek, bandar pintar dan industri kebudayaan yang akan meletakkan Sarawak sebagai hab keselamatan makanan dan menyokong Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, inisiatif pertama di bawah program itu, De Rantau Sarawak, akan dibuka untuk permohonan awal tahun depan.
Justeru, katanya, inisiatif ini mengukuhkan komitmen Sarawak untuk memupuk ekonomi digital yang cergas, inovatif dan terhubung secara global.
Oleh RYNNA SHA’ERRA